New Semester..how do u feel?..


Selamat kembali ke alam pendidikan buat semua rakan-rakan mahasiswa, adik-adik yang masih bersekolah dan juga buat guru-guru yang akan sambung mengajar. Alhamdulillah, kita masih lagi diberi nikmat oleh Allah Al-Wahhab, yang tidak putus-putus memberikan segalanya kepada kita. Tanpa nikmat dan kasih sayang Allah, tiadalah kita di muka bumi ini. Oleh itu, sentiasalah menjadi hamba yang bersyukur, nescaya ALLAH akan tambahi lagi nikmat untuk kita bukan sahaja di dunia fana’, malah di akhirat yang kekal jua.

Saya pasti, bukan saya seorang sahaja, malah rakan-rakan pembaca juga mengalami satu perasaan yang sama. Risau dengan kehadiran semester baru, tidak kurang juga mereka yang sangat teruja untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik. Pasti akan terfikir., bagaimanakah perjalanannya nanti, bagaimanakah kita akan menghadapi subjek-subjek baru, pensyarah-pensyarah baru dan akhirnya, peperiksaan akhir. Namun, itu semua perlu kita lalui dengan penuh kesabaran.


Kala ini, saya hanya menyerahkan hidup hanya kepada Allah. Memang tidak tersenarai perkara-perkara yang hendak dilakukan, ditambahi pula dengan buku-buku yang perlu dihabisi, dan semuanya yang sudah anda maklum hidup sebagai seorang mahasiswa bagaimana. Tugas untuk organisasi itu sudah pasti akan mengejar kita. Tika inilah kebijaksanaan kita membahagi masa akan teruji, kebolehan kita untuk menguruskan diri dan orang lain akan teruji, kekuatan fizikal dan mental kita juga turut teruji. Untuk melepasi ujian-ujian yang memang tidak akan kunjung malap ini, pelbagai perkara perlu kita tanam dan sediakan dalam diri kita.

Sebagai seorang muslim, suka saya mengambil contoh daripada kisah-kisah Rasulullah S.A.W. apabila kita terasa lemah semangat dan tidak berdaya, mengingati sirah baginda, boleh menjadi satu motivasi bagi kita untuk terus bangkit menggapai kejayaan dan kecemerlangan yang sedang menunggu.

Akhir kata, buatlah yang terbaik dalam setiap pekerjaan kita. Niat boleh menukarkan pekerjaan yang kecil menjadi besar, dan besar menjadi kecil di sisi Allah. Semoga kita semua sentiasa dalam rahmatNya.

Sebelum mengakhiri, suka saya mengucapkan selamat hari lahir kepada mereka-mereka yang hari lahirnya jatuh dalam bulan Januari ini. Peningkatan umur bermakna hidup kita semakin singkat. Orang yang paling bijak ialah mereka yang sering mengingati mati.




Monday, January 5, 2009

0 Comments: