Salam lembaran baru saya ucapkan kepada semua rakan-rakan setia yang sudi membaca blog ini. Setelah puas mencari masa yang sesuai, barulah kini dapat saya update kembali blog yang sudah lama terbengkalai. Saya mendoakan kita semua sentiasa ceria di dalam semangat baru yang telah muncul dan memberi harapan baru kepada kita.
Suka saya memperkatakan tentang peningkatan diri kita. Saya yakin, semua orang akan berazam untuk menjadi dan melakukan yang lebih baik daripada tahun sebelumnya. Namun, setakat kita berazam, tanpa ada pelan strategik yang baik untuk kita terus melonjakkan diri ke tempat yang lebih jauh, tiada gunanya. Sesuatu idea ataupun kemahuan yang dating, harus disusuli dengan tindakan yang bijaksana untuk kita melihat hasil yang dikehendaki.
Bercakap tentang idea, tindakan, pelan strategic dan sebagainya, sebagai manusia biasa, kita sememangnya amat lemah untuk melakukan perancangan yang benar-benar baik, mantap dan kadang-kala sering lompong di sana sini. Oleh sebab itulah, kita perlu meminta kepada Sang Pencipta kita yang Maha Bijaksana, Allah Al-Hakiim. Dialah yang telah mengilhamkan kepada kita semua yang kita fikirkan untuk pekerjaan kita di dunia ini.
Penghijrahan Rasulullah, jika kita telusuri perjalanannya, MasyaAllah, penuh dengan hikmah yang tidak terfikir dek akal kita. Menjadi satu rujukan kepada kita, bagaimana Allah melindungi ISLAM daripada dinodai oleh pihak kafir Quraisy yang sentiasa berusaha untuk menghapuskannya di bumi Makkah ketika itu. Apabila kita banyak membaca dan menghayati sirah, sebenarnya, banyak perkara yang boleh kita aplikasikan di dalam kehidupan kita seharian kini. Allah menyanyangi orang yang suka menghidupkan sunnah dalam kehidupan kita di akhir zaman ini. Rasulullah juga akan mudah untuk memberikan syafaatnya di akhirat kelak kepada mereka yang suka mengamalkan sunnah baginda.
Bagi golongan mahasiswa, ataupun yang masih lagi di alam persekolahan, kita masih mempunyai masa untuk meningkatkan prestasi akademik dalam sesi pengajian kita. Muhasabah adalah perkara terbaik dalam menaikkan prestasi diri, bukan sahaja dalam bidang akademik, bahkan semua perkara dalam hidup ini. Amalan yang baik, kita tingkatkan dan istiqamah dalam mengerjakannya, manakala, sifat yang kurang baik, kita cuba kurangkan dan tinggalkannya dalam usaha menjadi MUSLIM SUPER yang berjaya dalam apa jua bidang yang diceburinya.
Ayuh! Mulakan sesi baru dengan berdoa kepada Ya Baith, Allah Yang Maha Membangkitkan Semangat. Semoga hari-hari yang bakal kita tempuhi, penuh dengan ujian dan dugaan yang akan lebih mematangkan kita serta menambahkan ilmu pengetahuan kepada kita. Semoga senyuman kebahagiaan milik kita semua di dunia sana yang abadi selamanya.
0 Comments:
Post a Comment