Teknologi untuk generasi muda


Manfaat teknologi kepada Muda-mudi Islam

Teknologi adalah satu istilah yang tidak asing lagi dewasa ini. Teknologi bahkan telah berubah daripada satu kehendak menjadi satu keperluan yang amat penting pada hari ini. Ia juga merupakan salah satu alat yang boleh menentukan tabiat dan sifat seseorang yang menggunakannya.

Teknologi dapat dibahagikan kepada pelbagai kategori, teknologi komunikasi, teknologi pengiklanan, teknologi pengurusan, teknologi ketenteraan dan banyak lagi. Pertumbuhan teknologi ini semakin pesat membangun hari demi hari, sehingga tidak terkejar oleh manusia. Jika kita mengikuti perkembangan gadget yang dikeluarkan oleh pelbagai syarikat yang merangkumi pelbagai bentuk, tidak termampu untuk mengingat kesemuanya.

Teknologi yang menjadi satu sebatian dalam masyarakat kini memberi sejuta satu manfaat dan tidak terlepas juga menyumbang sedikit sebanyak kemudharatan kepada dunia. Lumrah alam, setiap perkara pasti ada pro dan kontranya. Oleh itu, semuanya terletak di tangan penggunanya, menentukan sama ada ia akan membawa banyak kebaikan atau pun menjurus kea rah kemusnahan.

Golongan yang biasanya terpengaruh dengan perkembangan teknologi ini adalah remaja yang suka akan hiburan dan gemar mencuba perkara baru. Justeru, apakah peranan kita sebagai remaja Islam, yang menyanjung Al-Quran dan mengamalkan sunnah Rasulullah. Telah ALLAH katakana di dalam surah Al-Kahfi ayat 13 yang mana Fata, yakni pemuda kahfi yang ALLAH beri kepada mereka keimanan dan Allah tambahi lagi hidayah bagi mereka


Maka, jadikanlah diri kita sepertimana pemuda-pemuda tersebut yang melarikan diri untuk menyelamatkan aqidah mereka dan ALLAH telah membantu mereka. Kita mestilah bijak menggunakan peluang yang ada di depan mata untuk menambah keimanan dan mendapat keredhaan Allah. Penggunaan teknologi yang canggih sebagai satu alat untuk kita mendekatkan diri kepada Allah adalah satu langkah yang bijak.

Seperti yang kita lihat sekarang, Al-Quran digital, sejadah yang mempunyai petunjuk arah qiblat, tasbih elektronik, dan sebagainya yang membantu kita untuk menjadikan diri lebih sufi. Perkakas ini boleh ditambah baik lagi, dan boleh lagi mencipta pelbagai teknologi yang akan mengembalikan Islam sebagai cara hidup kita jika kita menguasai ilmu pengetahuan yang tinggi dan berjaya mengaplikasikannya ke jalan yang benar.

Selain itu, dengan aplikasi teknologi canggih yang kita kuasai, amat mudah untuk kita menarik mad’u untuk menghayati Islam dengan lebih mendalam. Menjadikan orang Islam dihormati dan mendapat tempat di kalangan masyarakat kerana teknologi yang kita kuasai.

Menjadi sebahagian daripada lumrah pekerjaan hari ini, teknologi adalah berkait rapat dengan perniagaan yang akan memberi pulangan yang cukup besar. Oleh itu, adalah amat penting remaja Islam kuasai bidang teknologi ini daripada sekarang untuk kebaikan pada masa akan datang.

Meskipun ada di kalangan remaja Islam pada hari ini kurang suka dengan peralatan teknologi yang canggih dan pelbagai ini. namun mereka tetap akan perlu menggunakannya pada suatu hari nanti kerana semakin hari teknologi semakin sebati dalam hidup manusia dan manusia kian bergantung kepada teknologi setiap hari.

Kesimpulannya, penguasaan teknologi adalah sangat penting dan ini menjadikan ia salah satu perkara penting dalam perkembangan Islam di dunia. Menjadi wajib kepada para remaja Islam sekalian untuk mempelajarinya dan menggunakannya untuk kerja dakwah, dan itulah sebenarnya matlamat utama kita untuk menguasai teknologi. Apa yang penting, adalah niat kita untuk mencari keredhaan Allah S.W.T.

Monday, June 2, 2008

0 Comments: