Ape Jadi bila hati mula berkarat??...



Hmm..dah lama pulak rasanya tak mengupdate blog. Sibuk dengan tugas hakiki ditambah lagi dengan banyak perkara yang bermain di kepala menyebabkan saya jarang luangkan masa untuk menghantar post ke blog. Sebenarnya banyak perkara yang saya nak kongsikan, tapi, tak tahu nak mula di mana.


Erm..ok..suka saya nak share ilmu yang saya dapat ketika menghadiri kuliah tafsir di pejabat saya baru-baru ni. Seorang ustaz yang dipilih daripada IKIP Kuantan. Ustaz Kamil memilih surah al-Mutoffifin. Beliau memulakan dengan membaca surah tersebut satu persatu dan diikuti oleh hadirin. Masa yang diperuntukkan selama 1 jam terasa sangat singkat. Kuliah beliau sangat menarik, diselitkan dengan isu-isu semasa yang memang kena atas batang hidung kita, dikaitkan juga dengan ilmu-ilmu tafsir seperti ilmu bayan, ilmu ma’ani dan ilmu baadi’. Memang menarik.


Antara yang dapat saya kongsikan di sini adalah mengenai ayat 14, ia berkaitan hati. Hati yang berkarat akan sukar menerima cahaya kebenaran, oleh sebab itulah puak-puak kuffar, jika didatangkan kebenaran di depan mata mereka sekalipun, mereka tetap tidak mahu mempercayainya apalagi menerimanya. Seperti yang berlaku ketika zaman nabi ALLAH Musa a.s, yang mana apabila dia membalingkan tongkatnya, ia bertukar menjadi ular dan memakan semua ‘ular’ palsu ahli sihir Firaun. Maka, berimanlah semua ahli sihir suruhan Firaun itu, akan tetapi, Firaun mengatakan pula yang Nabi Musa itu adalah ahli sihir besar walaupun dia telah melihat kebenaran.


Maka begitu jugalah kita orang-orang Islam, selain menjaga keadaan fizikal tubuh badan kita, kesihatan hati, qalb, rohani kita juga perlu dijaga, malah perlu diberi lebih perhatian. Ini kerana hati yang berkarat tidak mampu membezakan antara yang baik dengan yang buruk, tidak dapat menerima pandangan orang lain dan akhirnya akan angkuh dengan ALLAH. Ustaz menambah lagi, mereka ini sampai tahap mempersendakan ancaman ALLAH yang telah dinyatakan dalam Al-Quran. Nauzubillahi min zalik. Semoga kita semua tidak termasuk ke dalam golongan itu. Mencuci hati dengan taubat nasuha adalah jalan yang terbaik.


Para pembaca pernah dengar ESQ Training? Seorang daripada staf unit saya ditempatkan itu baru pulang daripada menghadiri kursus tersebut. Dan beliau berpendapat bahawa ia amat bagus untuk pembangunan dan pengubat hati. Program tersebut mampu membuatkan kita menangis teresak-esak mengenangkan betapa jauhnya hati kita dengan Allah, betapa kita sering leka untuk mengadu dengan ALLAH, dan juga kita sering melupakan kematian. Program itu mampu membuatkan kita tersungkur dan meratap akan kesilapan lampau kita, kerana membiarkan hati ini kering daripada baja-baja keimanan.

Begitulah sedikit sebanyak pengajaran yang saya dapat, dan yang paling menarik, ustaz menceritakan pembahagian ulum tafsir dan antaranya yang saya sebutkan di atas tadi. Sempat juga ustaz mengajar kami sedikit ilmu ma’ani yang sangat menarik, nak explain melalui penulisan susah, kena berhadapan baru dapat..hehe..


Rasa sayang meninggalkan tempat ini mula menyelubungi saya, memandangkan tinggal lebih kurang 2 minggu lagi saya di sini. Saya akan menyedok segala ilmu-ilmu berharga berbekalkan masa yang berbaki ini. Sayang juga rasanya mahu meninggalkan unit ini, walaupun stafnya tak ramai, tapi cukup untuk menceriakan suasana setiap hari. Saya takkan lupakan saat-saat bersama di unit ini. Terima kasih kepada semua.


Hargailah keadaan dan suasana sekarang kerana pada akan datang ia akan jadi kenangan yang kita takkan dapat nak mengambilnya semula, dan saat itu kesedihan akan menyelubungi, kerimduan akan mula berputik menuntut pertemuan lagi..lagi..lagi..dan lagi..itulah kasih sayang sesama manusia.


Dan hargailah saat ini, kerana kita tak tahu bila kita akan dipanggil ALLAH..

Teringat sabda Rasulullah: ‘ orang yang paling bijak adalah mereka yang sering mengingati mati’

Saturday, June 21, 2008

0 Comments: