Optimislah dengan ALLAH...



Serasa coretan di bawah bagaikan sangat kena dengan diri saya, lalu suka saya berkongsi dengan sahabat-sahabat semua.Semoga kita sentiasa muhasabah diri dan berusaha untuk menjadi lebih baik. Kebergantungan dengan Allah sangat penting dan banyak pengalaman yang saya lalui, melihat kesan apabila kita membelakangkan Allah dalam setiap rutin harian dan gerak kerja kita.


Semoga hari ini lebih baik dari semalam. Wallahu a’alam.


Terima kasih ALlah kerana telah selalu memberikan nikmat kepada kami walaupun diri selalu tersasar.


Terima kasih ALlah kerana selalu mengingatkan kami dengan ujian.


Terima kasih ALlah kerana masih lagi memberikan rahmat walaupun sudah berulangkali engkar..


Diri - Inilah hakikat dirimu. Engkau sebenarnya lemah, mudah dipengaruhi dengan suasana dan orang lain. Fahamlah wahai diri, engkau hanya boleh berusaha untuk mengubah. Tetapi yang melaksanakannya adalah ALlah.


Firmah ALlah yang bererti :

ALlah meringankan bagimu peraturan agama, dan manusia itu dijadikan bersifat lemah (surah An Nisa':28)


Ya ALlah, jauhilah kami dari sifat sombong dan bongkak..


Diri - bukankah engkau selalu tergesa-gesa dan terburu-buru dalam membuat sesuatu pekerjaan. Kadang-kadang engkau tidak menyelidik tetapi terus menghukum. Engkau terus menerus menjadi pakar hukum seolah-olah hukuman pemutus itu ditanganmu. Alangkah sukarnya untuk menjadi seorang yang penyabar dan berfikir panjang.


"Dan manusia itu suka memohon kejahatan sebagaimana mereka juga suka memohon kebaikan. Dan manusia itu tergesa-gesa sifatnya" (surah an Nisa' ayat 11)


Diri - bukankah engkau selalu rasa gelisah dan tidak tenteram. Takut benar menghadapi masa hadapan. Goyah benar hati apabila diuji ALlah dengan kesusahan. Terkadang baru kotor sedikit pakaianmu, engkau sudah merasa marah dan memaki hamun. Baru diuji sedikit dengan kehilangan harta, amat susah untuk memejamkan mata...


Sesungguhnya manusia itu dijadikan bersifat keluh kesah. Apabila dia ditimpa keburukan dia berkeluh kesah. (surah al Ma'arij ayat 19-21)


Diri - mengapa engkau selalu melihat kelemahan dirimu sahaja? Kekurangan itulah yang selalu diperbesar-besarkan. Seolah-olah hadirmu di alam ini hanya membawa sial dan celaka serta tiada keberuntungan. Hinggalah engkau merasakan dirimu tiada gunanya, mudah kecewa dan putus asa. Diri belajarlah bersyukur, tahulah untuk memberi makna di dalam hidup.

Sumber: website terkemuka (actually dah lupa dah kat mana cedok artikel ni, kira halal la..huhu..)

Monday, June 30, 2008

Jauhi kemudharatan


Pernahkah anda mendengar Karbon monoksida?bagi yang pernah belajar subjek sains pasti pernah mendengarnya. Apapun, karbon monoksida tidak asing bagi mereka yang mendalami bidang kimia. Karbon monoksida adalah gas yang kadar peresapan oksigennya adalah tinggi kerana ia tidak stabil. Secara ringkasnya, ia adalah pesaing ketat sel darah merah kita, yang tugasnya mengangkut oksigen. Karbon monoksida paling mudah didapati di dalam asap kenderaan kita, semua jenis kenderaan yang mengeluarkan asap mengandungi karbon monoksida.


Oleh itu, mereka yang banyak menghidu asap kenderaan ini berpotensi untuk mngalami kekurangan oksigen kerana ia telah bergabung dengan oksigen untuk membentuk karbon dioksida, yang mana keluar apabila kita menghembuskan nafas. Dengan itu, oksigen yang kita sedut ke dalam peparu tidak sepenuhnya meresap ke dalam darah kerana ia bersaing hebat dengan karbon monoksida. Akibatnya, mangsanya kelihatan penat serta tidak bermaya kerana kekurangan oksigen. Mangsa yang paling kesian adalah para pelajar sama ada di sekolah mahupun di IPTA.


Saya berpendapat sebab itulah sesetengah orang yang menaiki motor lebih suka menunggang motor dengan laju untuk mengelakkan daripada terkena asap kenderaan lain yang berada di hadapannya, termasuk lah penulis. J. Apapun, kita perlu sentiasa berhati-hati. Rasanya lepas ni macam semua orang kena pakai penutup mulut untuk menghalang gas karbon monoksida tu, actually patut dari dulu lagi...


Hmm, cakap pasal pernafasan, saya teringat kelas Sains & Aagam yang saya ambil semester lepas. Hari pertama kelas telah dicabar dengan soalan, dan saya bangkit untuk bertanya soalan berkaitan hujjah yang diberikan oleh pensyarah sebelum tu. Hmm, sapa nak bagi idea/hujjah, silakan. Soalan saya masa tu adalah, kita semua tahu yang rokok tu adalah perkara yang membawa kemudharatan, malah boleh membawa maut dan majlis fatwa pun dah mengharamkan rokok, tapi kenapa kerajaan masih beri laluan kepada peniaga untuk membekalkan rokok kepada rakyat?


Apabila kita kaitkan dengan keadaan sekarang pun, sama jugak. Orang tahu yang mencuri tu salah, tapi diorang buat jugak, contohnya dalam bidang pekerjaan, curi tulang, curi keluar dan macam-macam lagilah. Sama jugak macam bribes, ramai di kalangan orang besar-besar terlibat dalam masalah ni, walhal diorang bukan tak tahu ape akibatnya. So, perkara-perkara macam ni, penting untuk diambil perhatian oleh pemimpin rakyat. Kelak kat akhirat ditanya ALLAH, baru menyesal, tak tahu nak jawab apa.


Rakyat biasa?pun tak terlepas juga. Coz hadis Rasulullah menyebutkan yang kita adalah raja, pemimpin kepada kerajaan diri kita sendiri. So, bila buat apa-apa corruption yang tak sepatut nya, maka tunggulah balasannya.


Semoga kita semua dapat menerima suratan amalan dengan tangan kanan dan wajah yang bercahaya..ameeen..


p/s: kalau salah fakta kat atas tu, tentang karbon monoksida, dan ada sape-sape nak betulkan..jangan segan silu..boleh komen..:)..
saya x belajar mendalam tentang bahan-bahan kimia..hehe..

Wednesday, June 25, 2008

Ubat hati..tarbiyyah dari Maha Pencipta


Istimewa untuk hati yang sedang bersedih, jiwa yang sedang berduka, minda yang sedang berkecamuk, inilah petua terbaik buat mengubat resah dan gundah:

  • Amalkan tasbih, tahmid dan takbir - Inilah petua yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada anaknya Siti Fatimah.
  • Berdoa - Mohonlah kepadaNya. Ingatlah, doa itu senjata bagi orang mukmin.

  • Sibukan diri dengan sesuatu - Lakukan aktiviti yang boleh melupakan segala kekusutan seperti perbanyakan membaca al-Quran & pelbagai bahan bacaan, terlibat dengan aktiviti usrah, kemasyarakatan dan sebagainya

  • Luahkan perasaan anda - Bermacam cara boleh digunakan untuk meluahkan perasaan. Carilah seseorang yang paling anda percaya (sebaiknya yang ada pertalian darah atau orang yang arif dalam agama), menulis diari atau catatan harian, menulis blog dan sebagainya

  • Senyum - Apabila berada dalam tekanan, cubalah untuk senyum. Senyumlah dihadapan cermin dan lihatlah diri anda yang sedang tersenyum. Ia mampu menenangkan fikiran dan hati

- wallahualam -



sumber rujukan: I Luv Islam..


semoga bermanfaat untuk semua...ameen...

Monday, June 23, 2008

Ape Jadi bila hati mula berkarat??...



Hmm..dah lama pulak rasanya tak mengupdate blog. Sibuk dengan tugas hakiki ditambah lagi dengan banyak perkara yang bermain di kepala menyebabkan saya jarang luangkan masa untuk menghantar post ke blog. Sebenarnya banyak perkara yang saya nak kongsikan, tapi, tak tahu nak mula di mana.


Erm..ok..suka saya nak share ilmu yang saya dapat ketika menghadiri kuliah tafsir di pejabat saya baru-baru ni. Seorang ustaz yang dipilih daripada IKIP Kuantan. Ustaz Kamil memilih surah al-Mutoffifin. Beliau memulakan dengan membaca surah tersebut satu persatu dan diikuti oleh hadirin. Masa yang diperuntukkan selama 1 jam terasa sangat singkat. Kuliah beliau sangat menarik, diselitkan dengan isu-isu semasa yang memang kena atas batang hidung kita, dikaitkan juga dengan ilmu-ilmu tafsir seperti ilmu bayan, ilmu ma’ani dan ilmu baadi’. Memang menarik.


Antara yang dapat saya kongsikan di sini adalah mengenai ayat 14, ia berkaitan hati. Hati yang berkarat akan sukar menerima cahaya kebenaran, oleh sebab itulah puak-puak kuffar, jika didatangkan kebenaran di depan mata mereka sekalipun, mereka tetap tidak mahu mempercayainya apalagi menerimanya. Seperti yang berlaku ketika zaman nabi ALLAH Musa a.s, yang mana apabila dia membalingkan tongkatnya, ia bertukar menjadi ular dan memakan semua ‘ular’ palsu ahli sihir Firaun. Maka, berimanlah semua ahli sihir suruhan Firaun itu, akan tetapi, Firaun mengatakan pula yang Nabi Musa itu adalah ahli sihir besar walaupun dia telah melihat kebenaran.


Maka begitu jugalah kita orang-orang Islam, selain menjaga keadaan fizikal tubuh badan kita, kesihatan hati, qalb, rohani kita juga perlu dijaga, malah perlu diberi lebih perhatian. Ini kerana hati yang berkarat tidak mampu membezakan antara yang baik dengan yang buruk, tidak dapat menerima pandangan orang lain dan akhirnya akan angkuh dengan ALLAH. Ustaz menambah lagi, mereka ini sampai tahap mempersendakan ancaman ALLAH yang telah dinyatakan dalam Al-Quran. Nauzubillahi min zalik. Semoga kita semua tidak termasuk ke dalam golongan itu. Mencuci hati dengan taubat nasuha adalah jalan yang terbaik.


Para pembaca pernah dengar ESQ Training? Seorang daripada staf unit saya ditempatkan itu baru pulang daripada menghadiri kursus tersebut. Dan beliau berpendapat bahawa ia amat bagus untuk pembangunan dan pengubat hati. Program tersebut mampu membuatkan kita menangis teresak-esak mengenangkan betapa jauhnya hati kita dengan Allah, betapa kita sering leka untuk mengadu dengan ALLAH, dan juga kita sering melupakan kematian. Program itu mampu membuatkan kita tersungkur dan meratap akan kesilapan lampau kita, kerana membiarkan hati ini kering daripada baja-baja keimanan.

Begitulah sedikit sebanyak pengajaran yang saya dapat, dan yang paling menarik, ustaz menceritakan pembahagian ulum tafsir dan antaranya yang saya sebutkan di atas tadi. Sempat juga ustaz mengajar kami sedikit ilmu ma’ani yang sangat menarik, nak explain melalui penulisan susah, kena berhadapan baru dapat..hehe..


Rasa sayang meninggalkan tempat ini mula menyelubungi saya, memandangkan tinggal lebih kurang 2 minggu lagi saya di sini. Saya akan menyedok segala ilmu-ilmu berharga berbekalkan masa yang berbaki ini. Sayang juga rasanya mahu meninggalkan unit ini, walaupun stafnya tak ramai, tapi cukup untuk menceriakan suasana setiap hari. Saya takkan lupakan saat-saat bersama di unit ini. Terima kasih kepada semua.


Hargailah keadaan dan suasana sekarang kerana pada akan datang ia akan jadi kenangan yang kita takkan dapat nak mengambilnya semula, dan saat itu kesedihan akan menyelubungi, kerimduan akan mula berputik menuntut pertemuan lagi..lagi..lagi..dan lagi..itulah kasih sayang sesama manusia.


Dan hargailah saat ini, kerana kita tak tahu bila kita akan dipanggil ALLAH..

Teringat sabda Rasulullah: ‘ orang yang paling bijak adalah mereka yang sering mengingati mati’

Saturday, June 21, 2008

Bertemu & berpisah kerana ALLAH



Pertemuan membuahkan RAHMAH

Seperti yang kita semua acap kali dengar 'bertemu dan berpisah kerana ALLAH’..dan itulah tema Annual Dinner ketika saya di tingkatan 4 dahulu. Sungguh, memang sungguh manis apabila kita berkawan, bersahabat dan berkasih sayang kerana Allah, pendek kata, apabila kita buat semua kerana ALLAH, semuanya akan jadi indah. Subhanallah. Alhamdulillah.


Suka saya berkongsi dengan para pembaca semua tentang petemuan. Pada akhir Mei tempoh hari, saya telah berpeluang menghadiri satu konvensyen di KL. Yang mana pada mulanya agak berat hati ini, tapi, saya kena pergi juga. So, langkahkan kaki ini dengan paksa rela. Well, sampai je di tempat program, saya berasa sangat gembira, kerana sahabat2 dan senior saya drpd UM pun turut menyertai dan sebahagiannya menjadi urusetia program tersebut. Dan Alhamdulillah, Allah telah menetapkan segalanya, saya dapat berjumpa dengan seorang senior dari USIM yang dah lama tak bertemu dan apabila pandangan kami bertaut, satu perasaan gembira dan terkejut serta syukur, sangat bersyukur kepada Maha Pencipta yang telah mengurniakan perasaan yang indah ini. Sungguhlah indah saat pertemuan tersebut, serasa mahu mengalirkan air mata saat itu juga..dan saya takkan lupakan saat itu sampai bila-bila.


Dan kes yang sama berlaku weekend baru ni. Semasa menghadiri program di Balok, saya telah secara kebetulan saya telah dengan senior daripada terengganu yang lebih kurang 4 tahun terpisah. Kami sama-sama terperanjat dan gembira, syukur kepada ALLAH yang telah menetapkan segalanya. Dan setiap kali slot nasyid temanya ‘Demi Matahari’ saya tersenyum dan terharu dengan segala nikmat yang Allah telah berikan kepada saya, dan sedih pula apabila memikirkan sedikitnya balasan saya untuk menunjukkan terima kasih kepadaNya. Astaghfirullah. Sungguh pertemuan itu satu Rahmat, kerana kita bertemu untuk mencari redha ALLAH, begitu juga apabila kita berpisah.


Allah, bantulah kami bangkit dan istiqamah dengan jalan ini. Allah, kukuhkanlah ukhwah dan tapak aqidah kami yang menjadi landasan kepada kebangkitan keadilan dan kebenaran.
Syukran Ya Allah. Syukran ‘ala kulli ni’mah. Syukran lillah Abadan abada.


Untuk sahabat-sahabat saya, jangan mengalah dek kerana ujian daripada Allah, kerana itulah tandanya Allah sayangkan hambaNya, Allah ingin mendengar rintihan suara hati kita, Allah sedang memberi perhatian daripada kita. Dan percayalah, tarbiyyah daripada Allah adalah nikmat yang besar.


Wednesday, June 18, 2008

Isu Semasa = kebangkitan


Ikuti perbualan tentang isu semasa yang hangat diperkatakan sekarang:


emak: stream tu sekarang, isi RM80 meter dia naik macam RM50 jugak, teruk lah kalau macam ni, sekelip mata je RM80 tu.


ayah: hmm..parak la macam nih sekarang...


kakak: hmm…tulah kena cepat-cepat tukar kerajaan sekarang nih..


Adik: dah tu, nak buat macammana mak?


emak: haa..tulah kena bertindak segera kita semua ni, tukar kerajaan sekarang, kalau tak sat lagi, semua benda naik lebih daripada sekarang.



Ia tidak berhenti setakat di rumah, bahkan kat ofis, staf2 semuanya merungut dengan keadaan kepimpinan sekarang.


Pendapat saya, menjadi rakyat Malaysia kadang-kadang rasa bertuah dan kadang-kadang rasa nak berhijrah je dari Malaysia. Saya tak mahu kutuk lebih-lebih, tapi, kita semua ada akal yang diberikan oleh ALLAH. Semua boleh berfikir baik dan buruk, semuanya terletak di tangan kita. Kita ada kuasa merubah sebenarnya, tapi itu, rakyat Malaysia kini tak berani, ikut aje lah. Sampai memakan diri sendiri.


Hmm..ape yang saya nak katakana di sini. Rasanya dah macam kat negara darurat dah. Semua barang naik, selari dengan kadar jenayah, rasuah dan macam-macam lagi masalah politik. Bila saya fikir-fikirkan balik, MasyaALLAH, adakah kita kaum yang ALLAH nyatakan akan lupus di muka bumi ini lantaran sikap kita yang sebegini teruk? Adakah kita akan digantikan dengan kaum yang lain seperti yang disebut di dalam surah Al-Maidah ayat 54? Apabila saya mendengar kuliah tafsir Jumaat lalu, telah ramai orang-orang di barat kini menganut ISLAM, dan mereka bahkan lebih faham ISLAM dan mengaplikasikannya. Apakah kita menyedarinya? MasyaAllah. Sungguhlah apabila ALLAH menghendaki sesuatu, ia akan berlaku ‘kun fa yakun’.


Apabila saya membuka satu laman web hari ini, gambar Al-Quran yang diambil tidak penuh dan dipisah-pisahkan. Dan apa yang tertulis di situ, ‘ adakah anda Nampak gambar ini pelik? Begitu jugalah dengan kita, akan nampak pelik apabila kita mengamalkan ISLAM sebahagian sahaja, tidak sepenuhnya.’ Dan saya sedar kini majority masyarakat hari ini sebegitu. Ya Allah ampunilah dosa-dosa kami. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.


Saya mendengar berita yang MB Pahang nak cut gaji beliau dan juga exco-exco negeri sebagai usaha untuk membantu rakyat, tapi umi kata, itu semua tidak akan merubah apa-apa. Tidak akan sampai ke jiwa rakyat rasa kemudahan hasil tindakan mereka itu. Sangat sedih apabila melihat keluarga yang susah di kawasa-kawasan pedalaman di sekitar Kuantan ni. Again, saya teringat dialog di dalam filem ‘ayat-ayat cinta the movie’ “ALLAH ingin mengajarkan engkau erti sabar dan ikhlas”. Dan saya akui memang ia saling berkaitan dan Allah mengajarkannya dengan memberi ujian kepada kita.


Semoga kita semua bersabar dan sentiasa berikhtiar untuk menjadi khalifah ALLAH yang bertanggungjawanb di bumi selagi hayat masih ada. Rebutlah segala peluang yang ada, kerana esok belum tentu milik kita. Teringat tema blog ustaz Hasrizal ‘erti hidup pada memberi’. Apapun, bertawakkal lah setelah berusaha, Allah tidak akan membebankan seseorang dengan apa yang tidak mampu dipikulnya dan Allah sentiasa ada bersama-sama orang yang bersabar.

Jadilah warga negara yang prihatin...Jangan jadi macam katak duk dalam gelas, nampak apa yang berlaku di luar, tapi tak mampu nak buat ape-ape...

Tuesday, June 17, 2008

Saranan daripada 'The Chosen One..'


Sebut saja bersenam, kebanyakan kita menggambarkan aktiviti outdoor yang mengeluarkan peluh. Sebenarnya senaman boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk, keadaan dan tempat. Akan tetapi, ramai orang ambil ringan akan bersenam, termasuklah orang yang menulis entri ini sendiri. Kalau ditanya soalan "apakah kepentingan bersenam?" pada setiap orang di planet ni, insyaAllah semua boleh jawab. Inilah jawapan-jawapan tipikal masyarakat pada soalan ini.


1. Untuk menyihatkan badan.

2. Untuk membakar lemak.

3. Untuk menguruskan badan.

4. Untuk menghilangkan stress.

5. Untuk mengeluarkan peluh


Walaupun tahu akan kelebihan-kelebihan dan manfaat daripada bersenam, namun masih ramai lebih suka duduk terperap dalam rumah. dalam kes yang lebih ekstrem , duduk terperap dalam bilik dan menyihatkan jari-jemari dalam erti kata lain, berchatting, main game dll. Apa pun, kita perlu mengingatkan antara satu sama lain.


Dalam 10 muwasofat muslim (10 sifat-sifat muslim) yang digariskan imam Hassan Al-Bana, qawiyyul jismi (sihat tubuh badan) merupakan salah satu daripada 10 kriteria tersebut. Ulama' pun berpendapat bahawa mempunyai tubuh yang sihat adalah penting. Dengan badan yang sihat, mudah untuk kita melakukan ibadat. dengan tubuh yang sihat, mudah untuk kita melaksanakan tanggungjawab da'wah, bi iznillah.


Selain itu, sabda rasulullah s.a.w;

mu'min yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah dari mu'min yang lemah, tp keduanya hendaklah ada kebaikan" [Riwayat Muslim]

Apa lagi kawan-kawan? Ayuh, kita lazimkan bersukan. Badan cergas, otak cerdas, insyaAllah.


Friday, June 13, 2008

Keindahan Hidup Bersama KEKASIH...



Dalam kehidupan kita seharian, sibuk dengan pelbagai aktiviti yang menuntut perhatian, kadang-kadang kita lupa dan leka akan Maha Pencipta yang sering memerhati kita. Dia tidak pernah leka untuk memerhati kita, mendengar setiap kata-kata kita, menilai hati kita. Apapun, segala puji bagi Allah, Tuhan yang maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Perkataan dilemma, seringkali mengganggu benak fikiran kita yang nak tak nak, kita perlu hadapinya, kadang-kadang setiap hari datang, bagi mereka yang sibuk dan banyak taklifan, semua benda penting nak buat. Menjadi satu perkara utama, sebelum kita melakukan sesuatu, kita perlu berfikir dulu sebab dan akibat sesuatu perkara itu. Oleh sebab itulah kita disarankan dan digalakkan, perkataan yang senang ‘sunat muakkad’ bagi kita, bangun malam dan melakukan solat sunat istikharah.


Pasti ramai mereka yang kadang-kala pelik, mengapa kita perlu melakukan istikharah…bukan kita nak kahwin lagi pun, bukan ada sampai 3@4 orang yang datang merisik pun.hehe..tapi, solat sunat istikharah ni kita lakukan demi menghadapi kehidupan harian kita yang penuh dengan ujian, cubaan, serta pilihan. Bukan masa nak membina ‘masjid’ je. Dan kadang-kala, apabila berhadapan dengan sesuatu keadaan yang besar dan memerlukan keputusan yang segera dan tidak menyinggung mana-mana pihak, kita jadi buntu. Sampaikan kita boleh hilang fokus untuk melakukan kerja lain.


Oleh itu, kita jangan sekali-kali membelakangkan Dia. Saya teringat kisah di dalam novel Salju Sakinah karangan Zaid Akhtar yang baru saya habisi. Digambarkan watak utamanya selalu berhadapan dengan ujian hidup, yang tak sudah-sudah datang menjelma. Dan dalam pada itu, dia merasai nikmat tawakkal. Nikmat tawakkal yang hanya diperolehi oleh mereka yang benar-benar yakin kepada Allah. Allah tidak akan sesekali menguji hamba-hambaNya melainkan mereka mampu memikulnya.


Ayat dari surah Al-Baqarah itulah yang jadi pengubat duka dikala hati disapa lara. Sesungguhnya benarlah kata-kata Allah yang mana Al-Quran diturunkan oleh Allah untuk menjadi penawar kepada manusia. Sungguh kasih dan sayangnya Allah kepada hamba-hambanya. Dan Dia telah menunjukkan kasih sayangnya kepada seorang sahabat saya, yang mana Allah telah memanggilnya terlebih dahulu. Mohd. Suhaimi Yusof, 22 tahun, bakal graduan UPSI. Allah telah menjemputnya ketika tidur pada pagi 9hb Jun 2008. Subhanallah, tabahkanlah hati kaum kerabatnya.


Alangkah manisnya hidup jika kita sentiasa bertawakkal kepada ALLAH, itulah kemanisan hidup bersama Ilahi, hidup bersama Tuhan, hidup bersama kekasih Abadi, hidup bersama ALLAH yang Maha Mengetahui.


Al-fatihah untuk arwah sang pejuang, Suhaimi Yusof.

Thursday, June 12, 2008

Pembangun Modal Insan tulen...



Alhamdulillah…Syukran lillah. Cuti 2 hari lepas, saya berkesempatan menziarahi sanak saudara di Terengganu. Ada kenduri sepupu di Pasir Panjang, dan kebanyakan adik beradik umi datang dan bermalam di rumah adik umi di Kedai Buloh. Memang seronok, yang saya tak kenal dan tak pernah jumpa pun ada. Sebab keluarga kami memang besar, disebabkan atok..hehe..


Anyway, saya nak share something yang saya rasa perlu untuk pembaca semua tahu, walaupun ia tak berkaitan dengan sukan dan rekreasi....semalam, sambil hantar 2 orang adik saya ke Ma’ahad Tahfiz wa Tarbiyyah Darul Iman(MTT) di Tok Jireng, saya juga berkesempatan menghadiri Hari Anugerah Kecemerlangan yang diadakan oleh pihak sekolah, bagi meraikan pelajar-pelajar yang cemerlang dalam pelbagai jenis peperiksaan. Kebetulan adik saya mendapat anugerah cemerlang untuk PMR.


Apa yang saya nak sentuh disini, satu perkara yang menarik yang telah diutarakan oleh pengerusi Jemaah Ibu Bapa & Guru(JIBG), iaitu, MTT ialah sebuah sekolah yang mempunyai sistem terbaik di seluruh Malaysia. Saya tidak tahu sejauh mana kebenarannya, tapi ini juga di ungkapkan oleh Ustaz Abu Bakar Chik, selaku Pengerusi Executive Lembaga MTT. Dan memang saya teruja mendengarnya. Memang saya tak nafikan yang MTT adalah sebuah sekolah yang menggabungkan Hafazan Al-Quran & akademik, malah MTT telah mewujudkan Tahfiz Khas yang bermula daripada pelajar 11 tahun.


Sepengatahuan saya, terdapat juga sekolah2 dan institut2 lain yang mempunyai sistem sebegitu, mungkin MTT ada kelebihannya tersendiri, dan dapat melahirkan insan yang cemerlang dunia dan akhirat dengan sistemnya yang mengutamakan prinsip dunia ladang akhirat sehingga mereka mengatakan ia mempunyai sistem terbaik di seluruh Malaysia..entahlah, jika anda ada pendapat, bolehlah share ye…


Sekarang MTT dalam usaha untuk mewujudkan masjidnya sendiri di dalam kawasan sekolah tersebut dan juga saya mendapat khabar yang mereka membuka ruang pelaburan bagi mereka yang berminat untuk membina bangunan baru dan di atasnya akan dibina sarang burung layang-layang yang akan menjana keuntungan. And again, parents saya berminat dan mereka bercadang nak join.


Sungguh berusaha pihak sekolah ingin membangunkan MTT, dan yang paling penting, ini adalah salah satu usaha untuk mewujudkan generasi muda yang seimbang dunia dan akhirat sekaligus menjadi harapan negara dan agama serta menjadi pejuang aqidah Islam dan penjaga agama. Insya ALLAH…berkat doa dan usaha mereka dan juga kita yang sedar akan kepentingannya, Allah akan membuka jalan kejayaan.


Kalau kita tak boleh bagi sumbangan harta benda pun, doa sudah cukup berharga untuk itu.
Semoga kita semua kekal di atas jalan aqidah Allah yang satu.


“Ala bi zikrillahi tatma’unnal qulub…”

Monday, June 9, 2008

Donate Your blood..



Alhamdulillah…segala puji bagi Allah Yang Maha Suci…berjaya jugak akhirnya saya menderma darah hari ni. Program Derma Darah anjuran Puspanita PKNP dengan kerjasama HTAA. Sangat menarik, sebab disertakan sekali pemeriksaan kesihatan dan sesi kaunseling. Sebahagian staf unit ICT (unit yang saya ditempatkan untuk praktikal) yang jadi urusetia program, lagilah bertambah excited saya nak menderma.


Pada mulanya takut jugak, takut tak lepas. Coz, pada awal April ari tu saya dah derma kat UM. Tapi, Alhamdulillah, hajat saya tercapai juga akhirnya. Saya pun tak tahu nak describe macam mana perasan ni bila menderma darah. Kalau pembaca semua nak tahu, kena cuba dulu.hehe..tapi, nak kata kat sini, memang puas hati dan gembira bila kita dapat buat perkara yang kita suka..:)


Saya terpaksa merelakan kedua-dua belah tangan saya untuk mengeluarkan darah, memang masa derma kat UM ari tu pun nurse tu kata vein saya kecil. Mula-mula belah kiri, tak jumpe..Hmm, nak buat macam mana, akhirnya ada sorang akak tu, Berjaya juga cari vein saya..Alhamdulillah..Ramai jugak yang join tadi. Apapun, semoga usaha ini mendapat keredhaan Allah.


Selain mendapat pahala, kita juga sebenarnya telah mewujudkan dan merapatkan silaturrahim dengan program2 sebegini. Sangat seronok tengok para jururawat, dan urusetia bekerjasama dalam mengendalikan program ni


so, pembaca yang kat sana tu, janganlah takut nak derma darah. Hari ni kita bantu orang, mana tau esok2 kita susah, dan perlu mohon bantuan orang lain kan..dan yang pentingnya, mind set kita perlu. Ada sorang staf PKNP tadi tu, dia kata ni kali pertama dia nak menderma. Katanya anak2 dia semuanya ada buku menderma darah, mereka join program derma darah di kampus masing, dan mak dia pun teringin nak rasa juga derma darah dan mempunyai buku tersebut. ‘bagusnya’ kata hati saya, dan kita tak sedar itulah kadang-kadang yang menjadi peransang orang yang nak menderma




So, jom buat amal jariah bersama, semoga hari ini lebih baik daripada semlam…


Friday, June 6, 2008

It happen again....


“Erm..err..tak nampak ke?”. Itulah ayat pertama yang keluar daripada mulut saya setelah seorang LELAKI lewat 20-an telah melanggar saya ketika menuruni jejantas untuk menyebarang jalan…”erm..sory, x cedera ape-ape kan?”, saya tanya lagi selepas berusaha membetulkan cermin Buro’ (Yamaha LC) milik abah yang saya bawa ke tempat praktikal setiap hari. Saya tengok cermin skuter orang tu patah…kesian lah pulak, tapi dia yang salah dan dia merokok..hmm,terus hilang rasa kesian.


Yang pasti kali ni, adalah salah dia, ambik jalan orang. Ntah ape yang dia berkhayal saya pun tak pasti. Tengah menikmati rokok agaknya..hmm..lelaki..macam tu lah.. saya beristighfar sepanjang perjalanan sehingga sampai ke tempat kerja. “Unexpected thing happen and it’s all from ALLAH. I must accept it. Be optimistic with ALLAH.”..suara hati saya berbisik…Ya, mesti sentiasa bersangka baik dengan Allah…Astaghfirullah. Mungkin ini kifarah, saya tak tahu, itu rahsia ALLAH..


Sebelum ni pernah jugak saya kena langgar dari belakang..masa tu nak hantar member dari UPSI ke Stesen Universiti..then, time stop kat simpang tu, ada kereta yg dipandu foreigner langgar saya dari belakang..huhu..jatuhlah kami tengah-tengah simpang tu. Tapi Alhamdulillah kami x cedera apa-apa..cuma naiem je la yang pecah lampu belakang..hmm,sabar jelah..


Apapun, diharap, semua bersedia apabila berada di jalan raya. Kena bersedia dengan kecuaian orang lain selain daripada berwaspada dengan diri sendiri. Sampai sekarang, masih terasa sakitnya, timbul kesan bengkak di tangan. Syukran Ya Allah..tiba-tiba teringat salah satu ayat dalam buku La Tahzan karangan Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni…’sungguh sangat beruntung orang ISLAM, kebaikan meliputi seluruh hidupnya. nikmat yang datang padanya dia bersyukur dan kemudharatan yang datang juga dia redha dan sabar dengan ketentuan Allah dan itu adalah yang terbaik untuknya’ lebih kurang macam tulah maksudnya.


So, jadilah orang ISLAM yang benar-benar mengamalkan syariat ISLAM…semoga kita semua mendapat manfaat daripadanya.

Thursday, June 5, 2008

Tips Ceria...


Mengambil kesempatan yang ada...pagi tadi saya sempat mendengar sedikit tips daripada Dr. Hj. Fadzilah Kamsah yang menyatakan bagaimana untuk kita sentiasa ceria dan bersikap serta berpemikiran positif. Suka saya kongsikan bersama...

1) Sentiasa menjaga Ibadah khusus, solat di awal waktu, dan sebagainya kerana solat adalah
tunjang utama penghidupan seseorang katanya.

2) Kita hendak ceria dan sentiasa positif, kita perlu meminta daripada yang empunya nya, iaitu Pencipta kita ALLAH S.W.T. dan ALLAH telah menyatakan di dalam Al-Quran, mintalah dengan Allah, nescaya akan Allah kabulkan..
oleh itu, sentiasalah meminta doa khusus untuk kita sentiasa ceria, cemerlang, positif dan pelbagai lagi sifat2 mahmudah.

3) Tips ini yang selalu disebut oleh beliau, iaitu, memaafkan SEMUA orang sebelum tidur. Ini penting untuk kita sentiasa melapangkan hati kita daripada syakwasangka yang menjadi mainan syaitan.

Sedar atau tidak kita, ini adalah tips2 yang menjana insan cemerlang dunia dan akhirat. Mengaplikasikan Ilmu ukhrawi, untuk kebaikan di dunia. Sesungguhnya ramai di kalangan kita yang terlepas akan perkara2 yang bermakna seperti ini. Lalu, bagaimanakah kita hendak menjadi insan cemerlang sedangkan kita gagal untuk menetapkan di dalam minda kita sendiri untuk cemerlang..

Oleh sebab itu, saya suka melihat dan membaca bahan bacaan yang mengaitkan realiti kehidupan dengan cara hidup ISLAM yang sebenar...dapat saya nyatakan disini penulis2 novel yang saya minati hasilnya, seperti Faisal Tehrani, Zaid Akhtar, Habiburrahman, dan guru saya, Dr. Amida Abdulhamid...mereka telah cuba untuk membawa dakwah ISLAM melalui karya sastera mereka yang bagi saya sangat mantap...

Oleh itu, marilah kita bersama mengamalkan cara hidup ISLAM yang membawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat...
semoga semua sentiasa dirahmati dan diberkati ALLAH...ameen...

Wednesday, June 4, 2008

Time Management...


Memikirkan tanggungjawab yang dipikul ini berat..amat berat sebenarnya..saya telah meminta consult daripada tok guru yang paling dekat dengan saya..itulah umi saya..hehe..akhir2 ini, kami selalu travel same2 (actually saya jadi drive umi)...kami buat usrah bersama..macam2 lah yang dibincangkan, dan umi mmglah seorang yang banyak pengalaman, so, saya pun menggunakan kesempatan yang ada untuk mempelajari pelbagai ilmu pengurusan daripada umi.

Especially tentang pengurusan masa, memandangkan sem depan saya tahun akhir, so, macam2 perkara berkaitan akademik, dan pelbagai taklifan yang saya dapat perlu diuruskan dengan sebaik mungkin..Bertuah jugak jadi anak sulung, cepat faham apa yang parents kita buat, dapat tolong ape yang diorang tengah run, dapat share macam2 ngan diorang, dan kita diberi kepercayaan yang lebih berbanding adik2 lain..hehe..

So, kata umi..pengurusan masa tu sangat penting..kerana masa lah yang akan menjadikan kita berjaya dalam rutin harian kita atau tak..oleh itu, kita mesti pandai manipulate masa, nak citer kat sini pun panjang sangat..rasanya pembaca semua pun dah tau apa itu pengurusan masa yang efektif, cuma terpulang pada kita sama ada nak apply menda tu ke tak nak..

apapun, semoga sesi depan dapat saya tempuhi dengan baik..dan sokongan daripada semua amat2lah diperlukan...

syukran...

Tuesday, June 3, 2008


Keunikan Perbezaan Manusia

Mengambil aspek biologi, manusia adalah satu organisma yang unik. terdapat banyak perbezaan antara spesis manusia, walaupun pada zahirnya sama, tapi mereka mempunyai banyak perbezaan. sepsis yang dikenali dengan nama saintifiknya sebagai Homo sapien ini, adalah sangat kompleks dan sehingga sekarang masih ada sesetengah perkara yang tidak dapat ditemui sebab kejadian sesuatu perkara yang berkaitan dengan manusia.


Satu andaian yang tidak diterima oleh mereka yang percaya teori evolusi, manusia diciptakan daripada air mani. Ini dapat diteliti dalam Al-Quran surah Al-Nahl ayat 4 (16:4), Allah telah menciptakan manusia daripada air mani atau pun dalam bahasa saintifik dipanggil sperm, jutaan sperm yang terkandung di dalam air mani tersebut. Ini berlaku ketika proses permulaan untuk mendapatkan zuriat daripada pasangan yang telah bernikah. Ini adalah salah satu cara spesis manusia menjaga populasinya agar tidak pupus.


Bercakap mengenai pupus, di dalam kajian biologi, telah dikelaskan spesis yang beradaptasi dengan perubahan sekelilingnya, di kelaskan dengan K & L. Manusia dikelaskan dengan spesis K kerana ia Manusia menambahkan populasi dengan melahirkan anak, secara sedikit demi sedikit, menjaganya dengan rapid an teliti, dan ia mempunyai jangka hayat yang panjang. Kajian ini berkait dengan carrying capacity dimana bumi hanya boleh menampung hidupan pada keadaan optimum dalam nilai-nilai tertentu.


Selain itu, Al-Quran juga menambahkan lagi kenyataan keunikan manusia dengan dengan menyatakan bahawa manusia diciptakan secara berpasangan, boleh rujuk surah An-Naba’ ayat 8 ( 78:8). Secara berpasangan, ia lebih senang untuk ditakrifkan kaedah untuk menambah zuriat dan menikmati anugerah kehidupan yang Allah berikan. Bayangkan jika semua manusia adalah sejenis, lalu bagaimanakah akan berlakunya pertambahan zuriat secara tabii?

Alhamdulillah..


Tambahan lagi di dalam Surah Ar – Rum ayat 22 (30:22), Allah telah menjadikan manusia ini berbicara dalam pelbagai bahasa yang unik dan pelbagai gaya penyampaiannya, Subhanallah!. Sungguh kita tidak dapat bayangkan betapa besarnya nikmat ini yang membolehkan kita mendalami banyak ilmu Allah. Dengan pelbagai keturunan, pelbagai bangsa, pelbagai cara hidup, kepercayaan, komunikasi, semua faktor ini menjadikan manusia di dunia ini lebih bertamadun dan maju daripada makhluk-makhluk Allah yang lain.


Menjadi satu makhluk yang bertamadun, yang dibezakan oleh Allah berbanding makhluk-makhluk lain adalah AKAL manusia. Anugerah Allah yang paling berharga menjadikan manusia khalifah di muka bumi, dengan itu, manusia berupaya untuk membentuk satu kehidupan seperti mana yang dapat kita lihat sekarang. Tapi malangnya ramai yang tidak bersyukur dengan nikmat Allah, pembangunan teknologi selari dengan kemusnahan yang berlaku, sama ada kemusnahan alam sekita dan juga moral.


Perbezaan yang paling ketara yang boleh kita lihat adalah dari sudut sikap dan fahaman manusia itu sendiri. Ini dibuktikan dengan wujudnya pelbagai agama, tarekat, fahaman, dan sebagainya. Ini menjadi peluang kepada kita untuk mendalami pelbagai ilmu di dalam ruang yang tersedia ini. Sikap kita juga berupaya menentukan kerjaya kita dan pasangan kita. Ini dibuktikan dengan pelbagai ujian yang dikaji oleh pakar psikologi, seperti ujian kerjaya, ujian personality, ujian cinta dan lain-lain.


Sehingga kini, kita masih mengecapi nikmat keunikan manusia. Menjadi tanggungjawab kita mensyukuri setiap apa yang diberikan ALLAH. Bukankah Allah telah menyatakan di dalam Al- Quran bahawa, jika kita bersyukur, maka ALLAH akan tambahi lagi nikmat, sebaliknya jika kita tidak bersyukur, ALLAH akan berikan azab yang pedih.

Monday, June 2, 2008

Isu bersukan dalam Islam...


Semua kita sedia maklum akan kepentingan sukan untuk kesihatan. Apa yang mengekang penglibatan umat Islam terutamanya wanita dalam sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa ialah kod pakaiannya yang tidak menutup aurat.


Islam menggalakkan umatnya bersukan sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w, Orang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih kasih kepada Allah daripada mukmin yang lemah... (riwayat Muslim)


Pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Badlihisham Mohd. Nasir telah mengupas isu ini dengan baik


Apakah hukum bersukan dalam Islam?


DR. BADLIHISHAM: Dalam Islam, sukan adalah harus dan digalakkan. Ini berdasarkan beberapa hadis Rasulullah s.a.w. Antaranya, ajarkan anak-anak kamu memanah dan menunggang kuda. Dalam hadis yang lain, baginda turut menyebut tentang berenang.


Mengikut sejarah Islam, Dr. Ahmad Shalaby membahagikan sukan kepada dua iaitu yang melibatkan pergerakan tubuh badan seperti berlari dan berenang. Kategori kedua ialah yang membabitkan mental seperti catur, sahibba dan karom.


Baginda juga pernah bergusti dengan ahli gusti kafir Quraisy, Rukanah bin Abu Yazid bin Hashim. Peristiwa itu berlaku bila mana Rasulullah diminta membuktikan mukjizatnya. Syarat pertandingan itu ialah jika Rasulullah menang, Rukamah akan memeluk Islam. Akhirnya, Rasulullah memenangi pertandingan gusti yang diadakan tiga pusingan itu.


Dalam peristiwa lain, Rasulullah pernah berlumba lari dengan isterinya, saidatina Aishah. Semua ini membuktikan yang Islam mengharuskan kita bersukan. Pepatah Arab juga menyebut ‘otak yang cerdas datangnya dari badan yang sihat’.

Ini semua semenangnya selaras dengan kajian saintifik yang menganjurkan kesihatan melalui sukan.


Kejayaan Ruqaya Al Ghasara dalam Sukan Asia di Doha tahun lalu membuktikan pakaian menutup aurat bukan penghalang kejayaan dalam sukan. Apakah langkah yang patut diambil oleh pengeluar fesyen tempatan dalam hal ini?


DR. BADLIHISHAM: Masyarakat kita pada amnya sudah melepasi fobia takut dengan sesuatu yang dikaitkan dengan Islam. Kita telah melalui fasa kaget ini apabila berjaya memperkenalkan Bank Islam dulu. Masyarakat kita kini secara amnya telah terdedah dengan pendekatan dualisme.


Perkembangan dalam Sukan Asia 2006 itu perlu diambil peluang oleh pengeluar fesyen tempatan. Mereka wajar merebut peluang ekonomi ini dengan menghasilkan pakaian menutup aurat untuk manfaat masyarakat Muslim terutama wanita bersukan.


Contohnya ialah di Australia bulan lalu. Negara tersebut memperkenalkan pakaian renang yang menutup aurat iaitu burqini. Ia membolehkan wanita Islam berenang dan bersantai di pantai dengan selesa.


Oleh itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk persatuan-persatuan pengguna Muslim perlu bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi merealisasikan hasrat ini.


Dalam masa yang sama, para penyelidik dan pihak seperti Majlis Sukan Negara (MSN) perlu mengkaji secara mendalam supaya menghasilkan pakaian yang bukan sahaja menutup aurat tetapi dari segi saintifiknya tidak menjejaskan mutu larian.


Sukan kini mengandungi nilai ekonomi dan hubungan sesama manusia. Bagaimana umat Islam boleh memanfaatkan hal ini untuk berdakwah?


DR. BADLIHISHAM: Sememangnya sukan kini mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Islam sebagai agama yang lengkap meraikan unsur ekonomi bagi pembangunan manusia. Namun ia masih mengandungi unsur syubhat dari segi penontonnya yang bercampur lelaki dan perempuan serta dasar sukan yang berkiblatkan Barat.


Ini mendatangkan masalah besar kepada umat Islam untuk bergiat serius dalam sukan, di samping kelemahan memajukan bidang sukan. Bagaimanapun, umat Islam yang melibatkan diri dalam sukan secara profesional perlu mempunyai jati diri. Jangan hanya mengikut acuan Barat.


Dalam semua keadaan, ibadat wajib seperti solat dan puasa perlu ditunaikan walaupun bagi atlet yang bertanding di peringkat Olimpik sekali pun.


Dari segi dakwah, sukan boleh membantu. Contohnya, kejayaan cemerlang petinju terkenal Muhammad Ali sedikit sebanyak menaikkan moral orang Islam di dunia. Beliau kini melibatkan diri dengan kerja-kerja kebajikan dalam Nations of Islam di Amerika.


Begitu juga kejayaan Zinedine Zidane dalam bolasepak yang secara tidak langsung semangat umat Islam juga naik. Demikian juga kemenangan 1-0 Iran dalam Piala Dunia yang lalu membuktikan Islam berupaya memadamkan hegemoni Barat.


Dari segi dakwah di Malaysia, sukan boleh digunakan sebagai ice breaker bagi menyelami kehidupan mad’u dengan lebih mendalam. Pengalaman jabatan saya di perkampungan orang asli membuktikan hal ini. Kita berjaya merapatkan jurang antara peserta dan penduduk kampung melalui sukan bola sepak dan sukaneka.


Ada umat Islam apabila bersukan lupa akan batas aurat dan pergaulan dengan bukan mahram. Bagaimana hendak membetulkan keadaan ini?


DR. BADLIHISHAM: Batas aurat lelaki dan perempuan yang bukan mahram perlu sentiasa dijaga. Kecuali kita meliberalkan asas atau prinsip itu demi kononnya mencapai matlamat sukan yang dikehendaki dunia moden kini.


Justeru, kita memerlukan gabungan kepakaran antara para atlet dengan alim ulama bagi mengharmonikan dua jurang yang besar dalam perkara ini.


Persoalan yang mungkin wajar diberi perhatian ialah adakah perlu diasingkan kedudukan penonton lelaki dan wanita. Adakah perlu dibataskan acara renang wanita kepada kaum wanita sahaja?


Dalam peristiwa Nabi Muhammad berlumba lari dengan Aishah, secara logiknya ia dilakukan di kawasan terbuka. Ia mungkin disaksikan orang ramai kerana yang berlari itu adalah Rasulullah. Tetapi logik ini perlu diimbangi dengan prinsip yang menitikberatkan soal akhlak dan lain-lain.


MSN boleh memainkan peranan dalam hal ini dengan turut menitik beratkan pembinaan dan pelaksanaan polisi sukan menurut Islam.


Sebagai sebuah negara Islam, sudah tiba masanya Malaysia mempelopori temasya sukan berlandaskan adab Islam. Apa pandangan Dr?


DR. BADLIHISHAM: Kita seharusnya mengambil peluang ini. Sebabnya negara kita terbukti hebat dan berjaya menganjurkan pelbagai persidangan mahu pun sukan peringkat antarabangsa.


Islamnya sesuatu pertandingan itu bukan diukur dari menutup aurat tetapi juga harus dilihat dari mengekang aspek pembaziran dalam mengendalikan sukan.


Buat permulaan, Jakim sekali lagi perlu mempelopori dari segi menyediakan polisi adab sukan menurut Islam. Mungkin kerajaan boleh menganjurkan seminar melibatkan ahli-ahli sukan, MSN dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.


Antara tokoh yang boleh dilibatkan ialah seperti bekas wanita besi negara, Zaiton Othman dan Prof. Datuk Dr. Khoo Kay Kim mewakili bukan Islam.


Malaysia juga boleh mempelopori sukan negara-negara Islam sesuai dengan kedudukan sebagai Pengerusi Persidangan Negara-Negara Islam (OIC).


Kita perlu menggerakkan usaha ini supaya umat Islam mempunyai identiti sukannya sendiri. Ini penting agar kita tidak terus dikongkong dalam kerangka sukan yang dipelopori oleh Barat. Ingatlah pesanan Rasulullah dalam hadisnya, Sesungguhnya kamu akan mengikut jejak langkah mereka sebelum kamu sejengkal-sejengkal dan sehasta-sehasta. Sehingga kalau mereka memasuki lubang biawak, kamu akan ikut sama. Kata kami (sahabat), wahai Rasulullah! Adakah mereka Yahudi dan Nasrani? Sabdanya, siapa lagi? (riwayat Syaikhan)


Bagaimana pula kedudukan kesederhanaan dalam bersukan?


DR. BADLIHISHAM: Pertamanya, jangan meletakkan sukan sebagai segala-galanya. Ini bercanggah dengan prinsip kesederhanaan dalam Islam yang meminta takrifan sederhana itu dilihat dari kaca mata Islam itu sendiri.


Dalam melaksanakan apa juga yang dibenarkan dalam Islam, kita hendaklah meletakkan hukum mengatasi segala-galanya.


Kita juga jangan terlalu taksub dengan sukan. Jangan meniru perlakuan ganas yang sering ditunjukkan oleh penyokong bolasepak England.


Sesuai dengan matlamat sukan untuk menyihatkan badan, jangan kita mengambil barang larangan termasuk dadah seperti steroid. Atlet atau pemain juga perlu mengelak daripada terlibat dalam rasuah.


Bolasepak negara misalnya masih belum mencapai tahap kegemilangan seperti pada zaman Allahyarham Mokhtar Dahari walaupun kini para pemain diberi pelbagai insentif dan elaun yang tinggi.


Akhirnya, dalam setiap perlakuan atau detik hidup ini jangan kita lupa tanggungjawab kepada Allah. Sukan adalah wasilah atau mekanisme bukan matlamat atau end.

Sumber: UTUSAN MALAYSIA

Teknologi untuk generasi muda


Manfaat teknologi kepada Muda-mudi Islam

Teknologi adalah satu istilah yang tidak asing lagi dewasa ini. Teknologi bahkan telah berubah daripada satu kehendak menjadi satu keperluan yang amat penting pada hari ini. Ia juga merupakan salah satu alat yang boleh menentukan tabiat dan sifat seseorang yang menggunakannya.

Teknologi dapat dibahagikan kepada pelbagai kategori, teknologi komunikasi, teknologi pengiklanan, teknologi pengurusan, teknologi ketenteraan dan banyak lagi. Pertumbuhan teknologi ini semakin pesat membangun hari demi hari, sehingga tidak terkejar oleh manusia. Jika kita mengikuti perkembangan gadget yang dikeluarkan oleh pelbagai syarikat yang merangkumi pelbagai bentuk, tidak termampu untuk mengingat kesemuanya.

Teknologi yang menjadi satu sebatian dalam masyarakat kini memberi sejuta satu manfaat dan tidak terlepas juga menyumbang sedikit sebanyak kemudharatan kepada dunia. Lumrah alam, setiap perkara pasti ada pro dan kontranya. Oleh itu, semuanya terletak di tangan penggunanya, menentukan sama ada ia akan membawa banyak kebaikan atau pun menjurus kea rah kemusnahan.

Golongan yang biasanya terpengaruh dengan perkembangan teknologi ini adalah remaja yang suka akan hiburan dan gemar mencuba perkara baru. Justeru, apakah peranan kita sebagai remaja Islam, yang menyanjung Al-Quran dan mengamalkan sunnah Rasulullah. Telah ALLAH katakana di dalam surah Al-Kahfi ayat 13 yang mana Fata, yakni pemuda kahfi yang ALLAH beri kepada mereka keimanan dan Allah tambahi lagi hidayah bagi mereka


Maka, jadikanlah diri kita sepertimana pemuda-pemuda tersebut yang melarikan diri untuk menyelamatkan aqidah mereka dan ALLAH telah membantu mereka. Kita mestilah bijak menggunakan peluang yang ada di depan mata untuk menambah keimanan dan mendapat keredhaan Allah. Penggunaan teknologi yang canggih sebagai satu alat untuk kita mendekatkan diri kepada Allah adalah satu langkah yang bijak.

Seperti yang kita lihat sekarang, Al-Quran digital, sejadah yang mempunyai petunjuk arah qiblat, tasbih elektronik, dan sebagainya yang membantu kita untuk menjadikan diri lebih sufi. Perkakas ini boleh ditambah baik lagi, dan boleh lagi mencipta pelbagai teknologi yang akan mengembalikan Islam sebagai cara hidup kita jika kita menguasai ilmu pengetahuan yang tinggi dan berjaya mengaplikasikannya ke jalan yang benar.

Selain itu, dengan aplikasi teknologi canggih yang kita kuasai, amat mudah untuk kita menarik mad’u untuk menghayati Islam dengan lebih mendalam. Menjadikan orang Islam dihormati dan mendapat tempat di kalangan masyarakat kerana teknologi yang kita kuasai.

Menjadi sebahagian daripada lumrah pekerjaan hari ini, teknologi adalah berkait rapat dengan perniagaan yang akan memberi pulangan yang cukup besar. Oleh itu, adalah amat penting remaja Islam kuasai bidang teknologi ini daripada sekarang untuk kebaikan pada masa akan datang.

Meskipun ada di kalangan remaja Islam pada hari ini kurang suka dengan peralatan teknologi yang canggih dan pelbagai ini. namun mereka tetap akan perlu menggunakannya pada suatu hari nanti kerana semakin hari teknologi semakin sebati dalam hidup manusia dan manusia kian bergantung kepada teknologi setiap hari.

Kesimpulannya, penguasaan teknologi adalah sangat penting dan ini menjadikan ia salah satu perkara penting dalam perkembangan Islam di dunia. Menjadi wajib kepada para remaja Islam sekalian untuk mempelajarinya dan menggunakannya untuk kerja dakwah, dan itulah sebenarnya matlamat utama kita untuk menguasai teknologi. Apa yang penting, adalah niat kita untuk mencari keredhaan Allah S.W.T.