Donate Your blood..



Alhamdulillah…segala puji bagi Allah Yang Maha Suci…berjaya jugak akhirnya saya menderma darah hari ni. Program Derma Darah anjuran Puspanita PKNP dengan kerjasama HTAA. Sangat menarik, sebab disertakan sekali pemeriksaan kesihatan dan sesi kaunseling. Sebahagian staf unit ICT (unit yang saya ditempatkan untuk praktikal) yang jadi urusetia program, lagilah bertambah excited saya nak menderma.


Pada mulanya takut jugak, takut tak lepas. Coz, pada awal April ari tu saya dah derma kat UM. Tapi, Alhamdulillah, hajat saya tercapai juga akhirnya. Saya pun tak tahu nak describe macam mana perasan ni bila menderma darah. Kalau pembaca semua nak tahu, kena cuba dulu.hehe..tapi, nak kata kat sini, memang puas hati dan gembira bila kita dapat buat perkara yang kita suka..:)


Saya terpaksa merelakan kedua-dua belah tangan saya untuk mengeluarkan darah, memang masa derma kat UM ari tu pun nurse tu kata vein saya kecil. Mula-mula belah kiri, tak jumpe..Hmm, nak buat macam mana, akhirnya ada sorang akak tu, Berjaya juga cari vein saya..Alhamdulillah..Ramai jugak yang join tadi. Apapun, semoga usaha ini mendapat keredhaan Allah.


Selain mendapat pahala, kita juga sebenarnya telah mewujudkan dan merapatkan silaturrahim dengan program2 sebegini. Sangat seronok tengok para jururawat, dan urusetia bekerjasama dalam mengendalikan program ni


so, pembaca yang kat sana tu, janganlah takut nak derma darah. Hari ni kita bantu orang, mana tau esok2 kita susah, dan perlu mohon bantuan orang lain kan..dan yang pentingnya, mind set kita perlu. Ada sorang staf PKNP tadi tu, dia kata ni kali pertama dia nak menderma. Katanya anak2 dia semuanya ada buku menderma darah, mereka join program derma darah di kampus masing, dan mak dia pun teringin nak rasa juga derma darah dan mempunyai buku tersebut. ‘bagusnya’ kata hati saya, dan kita tak sedar itulah kadang-kadang yang menjadi peransang orang yang nak menderma




So, jom buat amal jariah bersama, semoga hari ini lebih baik daripada semlam…


Friday, June 6, 2008

It happen again....


“Erm..err..tak nampak ke?”. Itulah ayat pertama yang keluar daripada mulut saya setelah seorang LELAKI lewat 20-an telah melanggar saya ketika menuruni jejantas untuk menyebarang jalan…”erm..sory, x cedera ape-ape kan?”, saya tanya lagi selepas berusaha membetulkan cermin Buro’ (Yamaha LC) milik abah yang saya bawa ke tempat praktikal setiap hari. Saya tengok cermin skuter orang tu patah…kesian lah pulak, tapi dia yang salah dan dia merokok..hmm,terus hilang rasa kesian.


Yang pasti kali ni, adalah salah dia, ambik jalan orang. Ntah ape yang dia berkhayal saya pun tak pasti. Tengah menikmati rokok agaknya..hmm..lelaki..macam tu lah.. saya beristighfar sepanjang perjalanan sehingga sampai ke tempat kerja. “Unexpected thing happen and it’s all from ALLAH. I must accept it. Be optimistic with ALLAH.”..suara hati saya berbisik…Ya, mesti sentiasa bersangka baik dengan Allah…Astaghfirullah. Mungkin ini kifarah, saya tak tahu, itu rahsia ALLAH..


Sebelum ni pernah jugak saya kena langgar dari belakang..masa tu nak hantar member dari UPSI ke Stesen Universiti..then, time stop kat simpang tu, ada kereta yg dipandu foreigner langgar saya dari belakang..huhu..jatuhlah kami tengah-tengah simpang tu. Tapi Alhamdulillah kami x cedera apa-apa..cuma naiem je la yang pecah lampu belakang..hmm,sabar jelah..


Apapun, diharap, semua bersedia apabila berada di jalan raya. Kena bersedia dengan kecuaian orang lain selain daripada berwaspada dengan diri sendiri. Sampai sekarang, masih terasa sakitnya, timbul kesan bengkak di tangan. Syukran Ya Allah..tiba-tiba teringat salah satu ayat dalam buku La Tahzan karangan Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni…’sungguh sangat beruntung orang ISLAM, kebaikan meliputi seluruh hidupnya. nikmat yang datang padanya dia bersyukur dan kemudharatan yang datang juga dia redha dan sabar dengan ketentuan Allah dan itu adalah yang terbaik untuknya’ lebih kurang macam tulah maksudnya.


So, jadilah orang ISLAM yang benar-benar mengamalkan syariat ISLAM…semoga kita semua mendapat manfaat daripadanya.

Thursday, June 5, 2008

Tips Ceria...


Mengambil kesempatan yang ada...pagi tadi saya sempat mendengar sedikit tips daripada Dr. Hj. Fadzilah Kamsah yang menyatakan bagaimana untuk kita sentiasa ceria dan bersikap serta berpemikiran positif. Suka saya kongsikan bersama...

1) Sentiasa menjaga Ibadah khusus, solat di awal waktu, dan sebagainya kerana solat adalah
tunjang utama penghidupan seseorang katanya.

2) Kita hendak ceria dan sentiasa positif, kita perlu meminta daripada yang empunya nya, iaitu Pencipta kita ALLAH S.W.T. dan ALLAH telah menyatakan di dalam Al-Quran, mintalah dengan Allah, nescaya akan Allah kabulkan..
oleh itu, sentiasalah meminta doa khusus untuk kita sentiasa ceria, cemerlang, positif dan pelbagai lagi sifat2 mahmudah.

3) Tips ini yang selalu disebut oleh beliau, iaitu, memaafkan SEMUA orang sebelum tidur. Ini penting untuk kita sentiasa melapangkan hati kita daripada syakwasangka yang menjadi mainan syaitan.

Sedar atau tidak kita, ini adalah tips2 yang menjana insan cemerlang dunia dan akhirat. Mengaplikasikan Ilmu ukhrawi, untuk kebaikan di dunia. Sesungguhnya ramai di kalangan kita yang terlepas akan perkara2 yang bermakna seperti ini. Lalu, bagaimanakah kita hendak menjadi insan cemerlang sedangkan kita gagal untuk menetapkan di dalam minda kita sendiri untuk cemerlang..

Oleh sebab itu, saya suka melihat dan membaca bahan bacaan yang mengaitkan realiti kehidupan dengan cara hidup ISLAM yang sebenar...dapat saya nyatakan disini penulis2 novel yang saya minati hasilnya, seperti Faisal Tehrani, Zaid Akhtar, Habiburrahman, dan guru saya, Dr. Amida Abdulhamid...mereka telah cuba untuk membawa dakwah ISLAM melalui karya sastera mereka yang bagi saya sangat mantap...

Oleh itu, marilah kita bersama mengamalkan cara hidup ISLAM yang membawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat...
semoga semua sentiasa dirahmati dan diberkati ALLAH...ameen...

Wednesday, June 4, 2008

Time Management...


Memikirkan tanggungjawab yang dipikul ini berat..amat berat sebenarnya..saya telah meminta consult daripada tok guru yang paling dekat dengan saya..itulah umi saya..hehe..akhir2 ini, kami selalu travel same2 (actually saya jadi drive umi)...kami buat usrah bersama..macam2 lah yang dibincangkan, dan umi mmglah seorang yang banyak pengalaman, so, saya pun menggunakan kesempatan yang ada untuk mempelajari pelbagai ilmu pengurusan daripada umi.

Especially tentang pengurusan masa, memandangkan sem depan saya tahun akhir, so, macam2 perkara berkaitan akademik, dan pelbagai taklifan yang saya dapat perlu diuruskan dengan sebaik mungkin..Bertuah jugak jadi anak sulung, cepat faham apa yang parents kita buat, dapat tolong ape yang diorang tengah run, dapat share macam2 ngan diorang, dan kita diberi kepercayaan yang lebih berbanding adik2 lain..hehe..

So, kata umi..pengurusan masa tu sangat penting..kerana masa lah yang akan menjadikan kita berjaya dalam rutin harian kita atau tak..oleh itu, kita mesti pandai manipulate masa, nak citer kat sini pun panjang sangat..rasanya pembaca semua pun dah tau apa itu pengurusan masa yang efektif, cuma terpulang pada kita sama ada nak apply menda tu ke tak nak..

apapun, semoga sesi depan dapat saya tempuhi dengan baik..dan sokongan daripada semua amat2lah diperlukan...

syukran...

Tuesday, June 3, 2008


Keunikan Perbezaan Manusia

Mengambil aspek biologi, manusia adalah satu organisma yang unik. terdapat banyak perbezaan antara spesis manusia, walaupun pada zahirnya sama, tapi mereka mempunyai banyak perbezaan. sepsis yang dikenali dengan nama saintifiknya sebagai Homo sapien ini, adalah sangat kompleks dan sehingga sekarang masih ada sesetengah perkara yang tidak dapat ditemui sebab kejadian sesuatu perkara yang berkaitan dengan manusia.


Satu andaian yang tidak diterima oleh mereka yang percaya teori evolusi, manusia diciptakan daripada air mani. Ini dapat diteliti dalam Al-Quran surah Al-Nahl ayat 4 (16:4), Allah telah menciptakan manusia daripada air mani atau pun dalam bahasa saintifik dipanggil sperm, jutaan sperm yang terkandung di dalam air mani tersebut. Ini berlaku ketika proses permulaan untuk mendapatkan zuriat daripada pasangan yang telah bernikah. Ini adalah salah satu cara spesis manusia menjaga populasinya agar tidak pupus.


Bercakap mengenai pupus, di dalam kajian biologi, telah dikelaskan spesis yang beradaptasi dengan perubahan sekelilingnya, di kelaskan dengan K & L. Manusia dikelaskan dengan spesis K kerana ia Manusia menambahkan populasi dengan melahirkan anak, secara sedikit demi sedikit, menjaganya dengan rapid an teliti, dan ia mempunyai jangka hayat yang panjang. Kajian ini berkait dengan carrying capacity dimana bumi hanya boleh menampung hidupan pada keadaan optimum dalam nilai-nilai tertentu.


Selain itu, Al-Quran juga menambahkan lagi kenyataan keunikan manusia dengan dengan menyatakan bahawa manusia diciptakan secara berpasangan, boleh rujuk surah An-Naba’ ayat 8 ( 78:8). Secara berpasangan, ia lebih senang untuk ditakrifkan kaedah untuk menambah zuriat dan menikmati anugerah kehidupan yang Allah berikan. Bayangkan jika semua manusia adalah sejenis, lalu bagaimanakah akan berlakunya pertambahan zuriat secara tabii?

Alhamdulillah..


Tambahan lagi di dalam Surah Ar – Rum ayat 22 (30:22), Allah telah menjadikan manusia ini berbicara dalam pelbagai bahasa yang unik dan pelbagai gaya penyampaiannya, Subhanallah!. Sungguh kita tidak dapat bayangkan betapa besarnya nikmat ini yang membolehkan kita mendalami banyak ilmu Allah. Dengan pelbagai keturunan, pelbagai bangsa, pelbagai cara hidup, kepercayaan, komunikasi, semua faktor ini menjadikan manusia di dunia ini lebih bertamadun dan maju daripada makhluk-makhluk Allah yang lain.


Menjadi satu makhluk yang bertamadun, yang dibezakan oleh Allah berbanding makhluk-makhluk lain adalah AKAL manusia. Anugerah Allah yang paling berharga menjadikan manusia khalifah di muka bumi, dengan itu, manusia berupaya untuk membentuk satu kehidupan seperti mana yang dapat kita lihat sekarang. Tapi malangnya ramai yang tidak bersyukur dengan nikmat Allah, pembangunan teknologi selari dengan kemusnahan yang berlaku, sama ada kemusnahan alam sekita dan juga moral.


Perbezaan yang paling ketara yang boleh kita lihat adalah dari sudut sikap dan fahaman manusia itu sendiri. Ini dibuktikan dengan wujudnya pelbagai agama, tarekat, fahaman, dan sebagainya. Ini menjadi peluang kepada kita untuk mendalami pelbagai ilmu di dalam ruang yang tersedia ini. Sikap kita juga berupaya menentukan kerjaya kita dan pasangan kita. Ini dibuktikan dengan pelbagai ujian yang dikaji oleh pakar psikologi, seperti ujian kerjaya, ujian personality, ujian cinta dan lain-lain.


Sehingga kini, kita masih mengecapi nikmat keunikan manusia. Menjadi tanggungjawab kita mensyukuri setiap apa yang diberikan ALLAH. Bukankah Allah telah menyatakan di dalam Al- Quran bahawa, jika kita bersyukur, maka ALLAH akan tambahi lagi nikmat, sebaliknya jika kita tidak bersyukur, ALLAH akan berikan azab yang pedih.

Monday, June 2, 2008

Isu bersukan dalam Islam...


Semua kita sedia maklum akan kepentingan sukan untuk kesihatan. Apa yang mengekang penglibatan umat Islam terutamanya wanita dalam sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa ialah kod pakaiannya yang tidak menutup aurat.


Islam menggalakkan umatnya bersukan sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w, Orang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih kasih kepada Allah daripada mukmin yang lemah... (riwayat Muslim)


Pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Badlihisham Mohd. Nasir telah mengupas isu ini dengan baik


Apakah hukum bersukan dalam Islam?


DR. BADLIHISHAM: Dalam Islam, sukan adalah harus dan digalakkan. Ini berdasarkan beberapa hadis Rasulullah s.a.w. Antaranya, ajarkan anak-anak kamu memanah dan menunggang kuda. Dalam hadis yang lain, baginda turut menyebut tentang berenang.


Mengikut sejarah Islam, Dr. Ahmad Shalaby membahagikan sukan kepada dua iaitu yang melibatkan pergerakan tubuh badan seperti berlari dan berenang. Kategori kedua ialah yang membabitkan mental seperti catur, sahibba dan karom.


Baginda juga pernah bergusti dengan ahli gusti kafir Quraisy, Rukanah bin Abu Yazid bin Hashim. Peristiwa itu berlaku bila mana Rasulullah diminta membuktikan mukjizatnya. Syarat pertandingan itu ialah jika Rasulullah menang, Rukamah akan memeluk Islam. Akhirnya, Rasulullah memenangi pertandingan gusti yang diadakan tiga pusingan itu.


Dalam peristiwa lain, Rasulullah pernah berlumba lari dengan isterinya, saidatina Aishah. Semua ini membuktikan yang Islam mengharuskan kita bersukan. Pepatah Arab juga menyebut ‘otak yang cerdas datangnya dari badan yang sihat’.

Ini semua semenangnya selaras dengan kajian saintifik yang menganjurkan kesihatan melalui sukan.


Kejayaan Ruqaya Al Ghasara dalam Sukan Asia di Doha tahun lalu membuktikan pakaian menutup aurat bukan penghalang kejayaan dalam sukan. Apakah langkah yang patut diambil oleh pengeluar fesyen tempatan dalam hal ini?


DR. BADLIHISHAM: Masyarakat kita pada amnya sudah melepasi fobia takut dengan sesuatu yang dikaitkan dengan Islam. Kita telah melalui fasa kaget ini apabila berjaya memperkenalkan Bank Islam dulu. Masyarakat kita kini secara amnya telah terdedah dengan pendekatan dualisme.


Perkembangan dalam Sukan Asia 2006 itu perlu diambil peluang oleh pengeluar fesyen tempatan. Mereka wajar merebut peluang ekonomi ini dengan menghasilkan pakaian menutup aurat untuk manfaat masyarakat Muslim terutama wanita bersukan.


Contohnya ialah di Australia bulan lalu. Negara tersebut memperkenalkan pakaian renang yang menutup aurat iaitu burqini. Ia membolehkan wanita Islam berenang dan bersantai di pantai dengan selesa.


Oleh itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk persatuan-persatuan pengguna Muslim perlu bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi merealisasikan hasrat ini.


Dalam masa yang sama, para penyelidik dan pihak seperti Majlis Sukan Negara (MSN) perlu mengkaji secara mendalam supaya menghasilkan pakaian yang bukan sahaja menutup aurat tetapi dari segi saintifiknya tidak menjejaskan mutu larian.


Sukan kini mengandungi nilai ekonomi dan hubungan sesama manusia. Bagaimana umat Islam boleh memanfaatkan hal ini untuk berdakwah?


DR. BADLIHISHAM: Sememangnya sukan kini mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Islam sebagai agama yang lengkap meraikan unsur ekonomi bagi pembangunan manusia. Namun ia masih mengandungi unsur syubhat dari segi penontonnya yang bercampur lelaki dan perempuan serta dasar sukan yang berkiblatkan Barat.


Ini mendatangkan masalah besar kepada umat Islam untuk bergiat serius dalam sukan, di samping kelemahan memajukan bidang sukan. Bagaimanapun, umat Islam yang melibatkan diri dalam sukan secara profesional perlu mempunyai jati diri. Jangan hanya mengikut acuan Barat.


Dalam semua keadaan, ibadat wajib seperti solat dan puasa perlu ditunaikan walaupun bagi atlet yang bertanding di peringkat Olimpik sekali pun.


Dari segi dakwah, sukan boleh membantu. Contohnya, kejayaan cemerlang petinju terkenal Muhammad Ali sedikit sebanyak menaikkan moral orang Islam di dunia. Beliau kini melibatkan diri dengan kerja-kerja kebajikan dalam Nations of Islam di Amerika.


Begitu juga kejayaan Zinedine Zidane dalam bolasepak yang secara tidak langsung semangat umat Islam juga naik. Demikian juga kemenangan 1-0 Iran dalam Piala Dunia yang lalu membuktikan Islam berupaya memadamkan hegemoni Barat.


Dari segi dakwah di Malaysia, sukan boleh digunakan sebagai ice breaker bagi menyelami kehidupan mad’u dengan lebih mendalam. Pengalaman jabatan saya di perkampungan orang asli membuktikan hal ini. Kita berjaya merapatkan jurang antara peserta dan penduduk kampung melalui sukan bola sepak dan sukaneka.


Ada umat Islam apabila bersukan lupa akan batas aurat dan pergaulan dengan bukan mahram. Bagaimana hendak membetulkan keadaan ini?


DR. BADLIHISHAM: Batas aurat lelaki dan perempuan yang bukan mahram perlu sentiasa dijaga. Kecuali kita meliberalkan asas atau prinsip itu demi kononnya mencapai matlamat sukan yang dikehendaki dunia moden kini.


Justeru, kita memerlukan gabungan kepakaran antara para atlet dengan alim ulama bagi mengharmonikan dua jurang yang besar dalam perkara ini.


Persoalan yang mungkin wajar diberi perhatian ialah adakah perlu diasingkan kedudukan penonton lelaki dan wanita. Adakah perlu dibataskan acara renang wanita kepada kaum wanita sahaja?


Dalam peristiwa Nabi Muhammad berlumba lari dengan Aishah, secara logiknya ia dilakukan di kawasan terbuka. Ia mungkin disaksikan orang ramai kerana yang berlari itu adalah Rasulullah. Tetapi logik ini perlu diimbangi dengan prinsip yang menitikberatkan soal akhlak dan lain-lain.


MSN boleh memainkan peranan dalam hal ini dengan turut menitik beratkan pembinaan dan pelaksanaan polisi sukan menurut Islam.


Sebagai sebuah negara Islam, sudah tiba masanya Malaysia mempelopori temasya sukan berlandaskan adab Islam. Apa pandangan Dr?


DR. BADLIHISHAM: Kita seharusnya mengambil peluang ini. Sebabnya negara kita terbukti hebat dan berjaya menganjurkan pelbagai persidangan mahu pun sukan peringkat antarabangsa.


Islamnya sesuatu pertandingan itu bukan diukur dari menutup aurat tetapi juga harus dilihat dari mengekang aspek pembaziran dalam mengendalikan sukan.


Buat permulaan, Jakim sekali lagi perlu mempelopori dari segi menyediakan polisi adab sukan menurut Islam. Mungkin kerajaan boleh menganjurkan seminar melibatkan ahli-ahli sukan, MSN dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.


Antara tokoh yang boleh dilibatkan ialah seperti bekas wanita besi negara, Zaiton Othman dan Prof. Datuk Dr. Khoo Kay Kim mewakili bukan Islam.


Malaysia juga boleh mempelopori sukan negara-negara Islam sesuai dengan kedudukan sebagai Pengerusi Persidangan Negara-Negara Islam (OIC).


Kita perlu menggerakkan usaha ini supaya umat Islam mempunyai identiti sukannya sendiri. Ini penting agar kita tidak terus dikongkong dalam kerangka sukan yang dipelopori oleh Barat. Ingatlah pesanan Rasulullah dalam hadisnya, Sesungguhnya kamu akan mengikut jejak langkah mereka sebelum kamu sejengkal-sejengkal dan sehasta-sehasta. Sehingga kalau mereka memasuki lubang biawak, kamu akan ikut sama. Kata kami (sahabat), wahai Rasulullah! Adakah mereka Yahudi dan Nasrani? Sabdanya, siapa lagi? (riwayat Syaikhan)


Bagaimana pula kedudukan kesederhanaan dalam bersukan?


DR. BADLIHISHAM: Pertamanya, jangan meletakkan sukan sebagai segala-galanya. Ini bercanggah dengan prinsip kesederhanaan dalam Islam yang meminta takrifan sederhana itu dilihat dari kaca mata Islam itu sendiri.


Dalam melaksanakan apa juga yang dibenarkan dalam Islam, kita hendaklah meletakkan hukum mengatasi segala-galanya.


Kita juga jangan terlalu taksub dengan sukan. Jangan meniru perlakuan ganas yang sering ditunjukkan oleh penyokong bolasepak England.


Sesuai dengan matlamat sukan untuk menyihatkan badan, jangan kita mengambil barang larangan termasuk dadah seperti steroid. Atlet atau pemain juga perlu mengelak daripada terlibat dalam rasuah.


Bolasepak negara misalnya masih belum mencapai tahap kegemilangan seperti pada zaman Allahyarham Mokhtar Dahari walaupun kini para pemain diberi pelbagai insentif dan elaun yang tinggi.


Akhirnya, dalam setiap perlakuan atau detik hidup ini jangan kita lupa tanggungjawab kepada Allah. Sukan adalah wasilah atau mekanisme bukan matlamat atau end.

Sumber: UTUSAN MALAYSIA

Teknologi untuk generasi muda


Manfaat teknologi kepada Muda-mudi Islam

Teknologi adalah satu istilah yang tidak asing lagi dewasa ini. Teknologi bahkan telah berubah daripada satu kehendak menjadi satu keperluan yang amat penting pada hari ini. Ia juga merupakan salah satu alat yang boleh menentukan tabiat dan sifat seseorang yang menggunakannya.

Teknologi dapat dibahagikan kepada pelbagai kategori, teknologi komunikasi, teknologi pengiklanan, teknologi pengurusan, teknologi ketenteraan dan banyak lagi. Pertumbuhan teknologi ini semakin pesat membangun hari demi hari, sehingga tidak terkejar oleh manusia. Jika kita mengikuti perkembangan gadget yang dikeluarkan oleh pelbagai syarikat yang merangkumi pelbagai bentuk, tidak termampu untuk mengingat kesemuanya.

Teknologi yang menjadi satu sebatian dalam masyarakat kini memberi sejuta satu manfaat dan tidak terlepas juga menyumbang sedikit sebanyak kemudharatan kepada dunia. Lumrah alam, setiap perkara pasti ada pro dan kontranya. Oleh itu, semuanya terletak di tangan penggunanya, menentukan sama ada ia akan membawa banyak kebaikan atau pun menjurus kea rah kemusnahan.

Golongan yang biasanya terpengaruh dengan perkembangan teknologi ini adalah remaja yang suka akan hiburan dan gemar mencuba perkara baru. Justeru, apakah peranan kita sebagai remaja Islam, yang menyanjung Al-Quran dan mengamalkan sunnah Rasulullah. Telah ALLAH katakana di dalam surah Al-Kahfi ayat 13 yang mana Fata, yakni pemuda kahfi yang ALLAH beri kepada mereka keimanan dan Allah tambahi lagi hidayah bagi mereka


Maka, jadikanlah diri kita sepertimana pemuda-pemuda tersebut yang melarikan diri untuk menyelamatkan aqidah mereka dan ALLAH telah membantu mereka. Kita mestilah bijak menggunakan peluang yang ada di depan mata untuk menambah keimanan dan mendapat keredhaan Allah. Penggunaan teknologi yang canggih sebagai satu alat untuk kita mendekatkan diri kepada Allah adalah satu langkah yang bijak.

Seperti yang kita lihat sekarang, Al-Quran digital, sejadah yang mempunyai petunjuk arah qiblat, tasbih elektronik, dan sebagainya yang membantu kita untuk menjadikan diri lebih sufi. Perkakas ini boleh ditambah baik lagi, dan boleh lagi mencipta pelbagai teknologi yang akan mengembalikan Islam sebagai cara hidup kita jika kita menguasai ilmu pengetahuan yang tinggi dan berjaya mengaplikasikannya ke jalan yang benar.

Selain itu, dengan aplikasi teknologi canggih yang kita kuasai, amat mudah untuk kita menarik mad’u untuk menghayati Islam dengan lebih mendalam. Menjadikan orang Islam dihormati dan mendapat tempat di kalangan masyarakat kerana teknologi yang kita kuasai.

Menjadi sebahagian daripada lumrah pekerjaan hari ini, teknologi adalah berkait rapat dengan perniagaan yang akan memberi pulangan yang cukup besar. Oleh itu, adalah amat penting remaja Islam kuasai bidang teknologi ini daripada sekarang untuk kebaikan pada masa akan datang.

Meskipun ada di kalangan remaja Islam pada hari ini kurang suka dengan peralatan teknologi yang canggih dan pelbagai ini. namun mereka tetap akan perlu menggunakannya pada suatu hari nanti kerana semakin hari teknologi semakin sebati dalam hidup manusia dan manusia kian bergantung kepada teknologi setiap hari.

Kesimpulannya, penguasaan teknologi adalah sangat penting dan ini menjadikan ia salah satu perkara penting dalam perkembangan Islam di dunia. Menjadi wajib kepada para remaja Islam sekalian untuk mempelajarinya dan menggunakannya untuk kerja dakwah, dan itulah sebenarnya matlamat utama kita untuk menguasai teknologi. Apa yang penting, adalah niat kita untuk mencari keredhaan Allah S.W.T.