Dari Palestin ke Malaysia


Suatu program yang bagi saya cukup grand dan gempak. Tahniah buat AJK AKRAM ’08. Pada 16 September 2008, Sheikh Muhamad Mahmoud Seyam telah datang ke Universiti Malaya dan telah memberikan ceramah dan amanatnya kepada mahasiswa yang hadir pada program tersebut. Bermula dengan aktiviti berbuka puasa, solat maghrib berjemaah, kemudian para hadirin dihidangkan dengan isu semasa berkaitan Palestin yang telah dibentangkan oleh salah seorang wakil dari Palestin.


Program yang diadakan di Akademi Islam itu telah dihadiri oleh pelbagai latar belakang, tidak ketinggalan foreigner yang tidak ingin melepaskan peluang bersama-sama pemimpin agung itu. Untuk pengetahuan semua, Sheikh Muhammad Mahmoud Seyam adalah mantan khatib di Masjidil Aqsa dan mantan Rektor Universiti Islam Gaza. Sempat juga kami solat witir berimamkan beliau.


Pengalaman yang menarik kerana kali pertama saya ke program yang penceramah asalnya diterjemahkan oleh translator. Ustaz Imran telah diberi penghargaan untuk menjadi translator pada malam tersebut. Di meja pengerusi juga disediakan 3 orang penyampai, masing-masing mewakili bahasa melayu, arab dan Inggeris. Ini kerana kehadiran yang dijangkakan meliputi warganegara dan bukan warganegara.


Beberapa input yang dapat dikutip daripada ceramah yang disampaikan oleh Sheikh Mahmoud Seyam adalah berkaitan dengan peluang untuk memanfaatkan bulan Ramadhan. Selain itu, beliau menyentuh sedikit tentang isu Palestin. Yang mana, ancaman terbesar sekarang adalah pencerobohan puak Yahudi ke Masjid Al-Aqsa untuk merobohkannya sehingga menyembah bumi. Beliau juga menyatakan bahawa, kebanyakan negara-negara arab yang kaya di timur tengah tidak mahu memberikan bantuan kepada rakyat Palestin kerana rakyat Palestin tidak mahu tunduk kepada arahan Amerika.


Inilah yang menyedihkan kita, kerana kerajaan di kebanyakan negara yang kaya sendiri tidak mahu menghulurkan bantuan, lalu terpaksa meminta bantuan daripada negara-negara yang miskin. Beliau juga menjawab persoalan bahawa, sekarang Palestin tidak lagi memerlukan pejuang-pejuang tambahan kerana tenaga pemuda-pemudi di sana sudah cukup ditambah lagi dengan semangat mereka yang sentiasa berapi.


Beliau menasihatkan kami supaya sentiasa bersyukur dengan keamanan dan kebebasan kami untuk mengamalkan Islam serta pendidikan yang diberikan. Keadaan sangat berlawanan dengan keadaan di Palestin.Oeh itu, jadilah kita orang yang sentiasa bersyukur. Bersatu dalam meninggikan Islam bukan berpecah kerana unsur-unsur politik dan perasaan tidak puas hati, walhal ini adalah isu besar umat Islam. Hanya golongan yang berpemikiran akan melihat semua kejadian dengan mata hati.

Thursday, September 18, 2008

0 Comments: