Bersederhana dalam beraya...


Bismillahirrahmanirrahim….

Bahang hari Raya mula terasa. Semua orang sekarang sibuk membeli belah. Bagi kebanyakan manusia, hari raya adalah satu perkara yang menjadi sebab mereka membeli pakaian yang baru. Tanpa disedari ini menjadi salah satu penyebab lebihan perbelanjaan serta kurangnya ibadah kepada Allah s.w.t.


Keghairahan memilih barangan murah yang ditawarkan dengan pelbagai promosi menarik telah menjadikan masa lebih tertumpu untuk berbelanja berbanding masa yang diperuntukkan di masjid-masjid dan surau-surau untuk meratapi berakhirnya Ramadhan kali ini.


Lalu bagaimanakah iman kita? Boleh kita jadikan Ramadhan ini sebagai indicator sama ada meningkat kah atau menurunkah iman kita selama ini. Saki baki Ramadhan yang tinggal ini, bagaimanakah amalan harian kita? Ramadhan ini akan ditangisi oleh orang rindukan kehidupan abadi manakala bagi mereka yang mati dan keruh hatinya, Ramadhan kali ini sama seperti yang sebelumnya. Kemeriahan Syawal sahaja yang makin terasa.


Nilai-nilai seperti inilah yang kita cuba nak kikis dalam diri setiap insan. Namun, ia memerlukan kesungguhan daripada individu itu sendiri. apapun, berbelanja jangan mengikut nafsu. Sebelum membeli, Tanya hati samaada wajar atau tidak.


Bersederhana dalam berbelanja adalah antara salah satu tuntutan amalan Islam yang paling utama. Oleh itu, berbelanjalah mengikut keperluan, jangan lupa membayar zakat fitrah dan bersedekah bagi mereka yang memerlukan. Semoga pemergian Ramadhan kali ini, membawa kita lebih insaf dan menyedari kelemahan diri. Semoga madrasah Ramadhan ini menjadikan kita insan yang diredhai Allah..


Selamat Hari Raya, Maaf Zahir & Batin kepada semua pelawat dan pembaca.

Saturday, September 27, 2008

Penutupan AKRAM ’08

Program penutupan AKRAM ’08 (Akademi Ramadhan ’08) telah berlangsung dengan lancar. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada AJK AKRAM ’08 yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan program yang menghidupkan Ramadhan sepanjang Ramadhan ini.

 

Program yang diadakan tadi merupakan program terakhir untuk Ramadhan ini, namun ibadah Ramadhan kita akan sentiasa berterusan, begitulah kata-kata YDP PMIUM semasa ucapannya malam tadi. Program rasmi tadi bermula pada jam 9.45malam dimulai dengan ucapan pengarah, YDP seterusnya ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Anuar Ridhwan  Zakaria, Mantan YDP PMIUM dan kini pensyarah di Jabatan Al-Quran Hadith.

 

Ceramahnya pada masa yang singkat, dan ringkas, namun isinya cukup padat bagi saya. Ini bukanlah kali pertama PMIUM menjemput Ustaz Anuar, ceramahnya yang bersahaja, diselangi dengan lawak spontannya yang kadang-kadang berbau perli cukup menggamatkan suasana dengan gelak tawa hadirin.

 

Apa yang menarik tentang ceramah ustaz ialah saya dapat lihat hanya dengan beberapa potong ayat Al-Quran yang ustaz petik daripada surah Al-Kahf, sudah cukup memenuhi masanya dan dapat memberi input yang bermanfaat dan peringatan yang baik untuk pernggerak PMIUM khususnya dan para hadirin amnya.

 

Antara isi ceramahnya yang sempat saya kutip ialah tentang kisah Ashabul Kahfi yang mana golongan yang Allah puji mereka sehingga hari akhirat. Mereka mempunyai banyak kelebihan dan akhlaq baik yang boleh kita jadikan contoh dalam kehidupan kita. Penyampaian ustaz yang mengaitkan setiap sifat Ashabul Kahfi dengan method dan cara kita melakukan gerak kerja.

 

Beberapa point penting yang ustaz sebut ialah letakkan asas Keimanan kepada Allah dalam setiap perbuatan kita. Kerja berasaskan petunjuk daripada Allah, bukan hanya dengan semangat semata-mata. Ukhwah sesama muslim mestilah dikuatkan dalam melancarkan gerak kerja. Kerja kita perlulah bersifat gerakan dan tidak boleh bersifat statik semata-mata. Contohnya dalam kita nak mengislahkan masyarakat kampus, tidak akan terhasil sekiranya kita hanya mengadakan program-program sesama kita. Amar Ma’ruf Nahi mungkar haruslah menjadi salah satu objektif utama gerakan organisasi yang ingin mendaulatkan Islam.

 

Selepas itu, kami dihidangkan dengan alunan bacaan Al-Quran oleh Johan pertandingan tilawah Al-Quran dan slide show yang menyentuh hati, dan bagi saya itu adalah satu bentuk muhasabah yang baik dan mampu menjentik kesedaran kita sempena 10 malam terakhir  baki yang ada untuk Ramadhan ini. Kemudian kami dihiburkan dengan hiburan mendidik jiwa dengan nasyid dari Kumpulan intuisi. Memang best, boleh jadi artis dah habis belajar nanti.

 

Bagi saya, majlis pada malam tadi, cukup ringkas tapi penuh makna. Semoga kita semua pendapat keberkatan sempena majlis ilmu tersebut. Semoga ibadah kita sentiasa dipertingkatkan sehingga akhir Ramadhan seterusnya sehingga kita bertemu Ramadhan akan datang.

 

Selamat menikmati malam-malam terakhir Ramadhan.

Tuesday, September 23, 2008

Hari Raya Vs Assignment




Kembali ke topik hangat kini, bagi saya hangat sebab semua orang dah semangat nak menyambut hari raya. Dengan shopping sana-sini, berdering lagu raya di telefon bimbit, iklan-iklan di radio dan televisyen yang menaikkan suasana hari raya, dan topik di kelas pun, kadang-kadang mengaitkan dengan raya.



pengalaman-pengalaman saya sebelum ini, adalah puasa seringkali jatuh pada waktu peperiksaan. SPM pada bulan puasa, Final exam akhir sem 1 biasanya juga pada bulan puasa, dan pada masa tu, kelas dah tak de, assignment dan laporan pun dah hantar semua. Jadi relax la sikit, boleh fokus pada study. Namun, kini lain pula situasinya. Ramadhan kunjung tiba saat kita berada ditengah-tengah semester. Waktu yang penuh dengan assignment, report, tesis, tutorial, esei, presentation dan yang paling penting sekali, test, yang berbentuk carry mark yang menuntut untuk diberi perhatian.



Kadang-kadang saya terfikir, ujian betul Allah bagi Ramadhan kali ni pada waktu ditengah-tengah kesibukan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar. Apapun, kita kena hadapinya dengan sabar dan redha. Perlu seimbangkan masa antara waktu belajar dan waktu untuk menghidupkan Ramadhan. Kalau tak, memang tak terasa Ramadhan. Buku lebih banyak dibaca berbanding Al-Quran.



Sekarang dah masuk hari-hari kritikal. Hari 10 terakhir Ramadhan. Yang mana salah satu malamnya terdapat satu malam yang sangat afdhal dan barakah, itulah malam Lailatul Qadr. Malam yang Allah melimpahkan seluruh rahmat kepada hamba-hambanya yang meminta dan memohon kepadanya. Juga kritikal kerana hanya tinggal beberapa hari lagi Ramadhan akan meninggalkan kita. MasyaAllah, terasa sungguh sekejap, baru lagi rasanya hari tu, kita solat sunat tarawikh pada malam pertama Ramadhan.



Inilah yang patut menjadi kebimbangan kita sekarang. sejauh manakah kita telah memanfaatkan Ramadhan, bagaimanakah kita menggunakan Ramadhan dan sudah cukupkah amalan kita sepanjang Ramadhan ini?sudah terampunkan dosa-dosa kita yang lampau..? Ini semua kita perlu muhasaba diri kita kembali. Masih sempat untuk kita mengadu dan bermanja dengan Allah, agar dilimpahi rahmat dan berkat dalam hidup untuk setahun yang akan datang, sementara menunggu Ramadhan yang entah akan kita dapat kecapi lagi atau tidak.

Monday, September 22, 2008

Dari Palestin ke Malaysia


Suatu program yang bagi saya cukup grand dan gempak. Tahniah buat AJK AKRAM ’08. Pada 16 September 2008, Sheikh Muhamad Mahmoud Seyam telah datang ke Universiti Malaya dan telah memberikan ceramah dan amanatnya kepada mahasiswa yang hadir pada program tersebut. Bermula dengan aktiviti berbuka puasa, solat maghrib berjemaah, kemudian para hadirin dihidangkan dengan isu semasa berkaitan Palestin yang telah dibentangkan oleh salah seorang wakil dari Palestin.


Program yang diadakan di Akademi Islam itu telah dihadiri oleh pelbagai latar belakang, tidak ketinggalan foreigner yang tidak ingin melepaskan peluang bersama-sama pemimpin agung itu. Untuk pengetahuan semua, Sheikh Muhammad Mahmoud Seyam adalah mantan khatib di Masjidil Aqsa dan mantan Rektor Universiti Islam Gaza. Sempat juga kami solat witir berimamkan beliau.


Pengalaman yang menarik kerana kali pertama saya ke program yang penceramah asalnya diterjemahkan oleh translator. Ustaz Imran telah diberi penghargaan untuk menjadi translator pada malam tersebut. Di meja pengerusi juga disediakan 3 orang penyampai, masing-masing mewakili bahasa melayu, arab dan Inggeris. Ini kerana kehadiran yang dijangkakan meliputi warganegara dan bukan warganegara.


Beberapa input yang dapat dikutip daripada ceramah yang disampaikan oleh Sheikh Mahmoud Seyam adalah berkaitan dengan peluang untuk memanfaatkan bulan Ramadhan. Selain itu, beliau menyentuh sedikit tentang isu Palestin. Yang mana, ancaman terbesar sekarang adalah pencerobohan puak Yahudi ke Masjid Al-Aqsa untuk merobohkannya sehingga menyembah bumi. Beliau juga menyatakan bahawa, kebanyakan negara-negara arab yang kaya di timur tengah tidak mahu memberikan bantuan kepada rakyat Palestin kerana rakyat Palestin tidak mahu tunduk kepada arahan Amerika.


Inilah yang menyedihkan kita, kerana kerajaan di kebanyakan negara yang kaya sendiri tidak mahu menghulurkan bantuan, lalu terpaksa meminta bantuan daripada negara-negara yang miskin. Beliau juga menjawab persoalan bahawa, sekarang Palestin tidak lagi memerlukan pejuang-pejuang tambahan kerana tenaga pemuda-pemudi di sana sudah cukup ditambah lagi dengan semangat mereka yang sentiasa berapi.


Beliau menasihatkan kami supaya sentiasa bersyukur dengan keamanan dan kebebasan kami untuk mengamalkan Islam serta pendidikan yang diberikan. Keadaan sangat berlawanan dengan keadaan di Palestin.Oeh itu, jadilah kita orang yang sentiasa bersyukur. Bersatu dalam meninggikan Islam bukan berpecah kerana unsur-unsur politik dan perasaan tidak puas hati, walhal ini adalah isu besar umat Islam. Hanya golongan yang berpemikiran akan melihat semua kejadian dengan mata hati.

Thursday, September 18, 2008

Olimpik Beijing 2008


saya ada seorang sahabat yang agak arif tentang sukan berbanding saya..lalu, saya minta tolong dia menulis sedikit ulasan tentang sukan olimpik beijing pada ogos yang lalu. Biarpun dah lama berlalu, tapi, saya still nak share apa yang saya dapat dengan pembaca semua. Lalu, saya cedok ulasan ini daripada blog dia (dengan kebenaran dia..:)). Semoga ini bermanfaat untuk semua.

Sudah hampir seminggu sukan Olimpik ini berakhir, baru saya dapat peluang menulis tentangnya. 5 hari yang penuh dengan exam dan aktiviti serta ketiadaan laptop menyukarkan saya untuk mengulasnya. Beberapa hari sebelum berakhirnya Sukan Olimpik 2008, kawan saya tetiba suruh saya ulas tentangnya di blog. Adui… Dia kata awak ni tau banyak jugak tentang sukan ye, kebetulan berborak dengannya di dewan makan ketika itu, saya balas, bolehla sikit2x.. tapi takdelah nak ulas tahap tinggi punya, just my opinion..


Pada majlis pembukaan di Stadium Burung, China yang memuatkan kira-kira 10, 000 orang, tuan rumah mempersembahkan dan menceritakan kepada dunia tentang sejarah tamadun China sendiri dengan cara yang tersendiri. Dengan persembahan seni tarian, seni mempertahankan diri, adat dan budaya serta bagaimana berkembangnya tamadun China cukup mengkagumkan. Setelah tamat persembahan, masa yang ditunggu-tunggu tiba iaitu perarakan masuk kontijen-kontijen setiap negara. Saya pun tunggu la team Malaysia keluar. Nampak je bendera Malaysia dan baju melayu, dah tau dah team Malaysia. Tapi saya punyalah terkejut, aik… apsal sikit sangat yang keluar ni, tak lebih 20 orang, boleh dikira. Sedihnya.. Mana taknya, takkan la sikit sangat atlit Malaysia yang datang seramai 33 atlit yang datang dan beberapa kontijen Negara yang lain.


Saat mengecewakan pada saya adalah kekalahan pasukan beregu emas Badminton negara Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong tewas di tangan Markis Kido dan Hendra Setiawan 21-16, 21-18. Sedih dan kecewa mendengarnya. Masakan tidak, harapan negara tumpas di suku akhir, tak sampai separuh akhir pun. Semenjak mereka memenangi emas dalam pertandingan All-England, saya tidak pernah ketinggalan mengikuti perkembangan setiap pertandingan yang mereka masuki. Tinggal seorangan nampaknya Lee Chong Wei untuk terus mengharap emas bagi Malaysia. Tetapi harapan tinggal harapan kerana Lee Chong Wei jugak tewas dengan mudah dengan Lin Dan pada perlawanan akhir.


Sebenarnya, atlit Malaysia bukanlah teruk sangat prestasi mereka sepanjang pertandingan yang mereka masuki di peringkat kebangsaan atau pun antarabangsa. Atlit Renang, Badminton, Wushu (yang tidak diambil kira pungutan pingat) dan beberapa acara lagi. Malaysia hanya berpuas hati dengan 1 pingat perak yang dimenangi oleh Chong Wei. Malaysia menduduki tangga ke 69 dari 81 buah negara yang bertanding. Juara keseluruhan kali ini masih lagi dimenangi oleh Amerika Syarikat(110), diikuti China(100), Rusia(72) dan Great Britain(47). Walaupun China lebih banyak emas berbanding USA, tapi Juara dipilih mengikut berapa medal yang dimenangi. Olimpik yang ke -30 akan diadakan di London.


Persoalan disini, mengapa dan kenapa, apabila sukan utama yang ditunggu-tunggu oleh semua atlit dunia, atlit Malaysia kebanyakannya tidak menunjukkan prestasi yang sebenar. Apakah kerana ganjaran RM 1 juta yang dijanjikan itu membuat para atlit sudah lari dari tujuan masing-masing. Kalau dulu, atlit Malaysia bertanding kerana mahu membawa nama Malaysia tapi sekarang kedengaran seperti mahu duit sahaja. Apa-apa pun , koreksi balik . Atlit Malaysia mampu menyerlah suatu hari nanti.. Badminton tetap di hati... hehe..

Thursday, September 11, 2008

Ramadhan Kareem...


Hmm..sedar tak sedar dah masuk bulan September..MasyaAllah..cepatnya masa berlalu. Nanti dah nak raya, pastu bulan November plak dah exam. Inilah salah satu tanda-tanda kiamat semakin hampir. Astaghfirullah.


Suka saya mengambil kesempatan di sini, walaupun dah hari ke-4 Ramadhan, Selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua umat Islam di kampus dan di luar sana. Bulan mulia anugerah dan tanda kasih sayang Allah kepada hamba-hambanya ini, perlulah kita manfaatkan bersama.


Semalam (3 september 2008), PMIUM telah Berjaya menganjurkan perasmian Akademi Ramadhan 08 (AKRAM ’08) di Dewan Semarak, Akademi Pengajian Melayu. Bermula dengan berbuka puasa bersama-sama, kemudian solat maghrib berjemaah, disusuli dengan kuliah maghrib oleh saudara Syakir dari APIUM, seterusnya solat isya’ dan sunat tarawih bersama-sama yang diimami oleh saudara Ahmad Faezuddin.


Lebih kurang jam 10 malam, acara ucapan perasmian bermula. Penasihat PMIUM, Dr. Mustaffa Ali yang sepatutnya merasmikan majlis tidak dapat hadir, lalu YDP PMIUM, saudara Muhammad Haafizuddin yang menggantikan beliau sebagai perasmi AKRAM ’08. Gimik perasmian yang mencuit hati dan slide presentation yang ‘gempak’ menghidupkan suasana Dewan dan menyegarkan mereka yang penat. Memang best.


Kemudian ia diserikan lagi dengan ceramah oleh ustaz Mohd. Nor Habibi, pensyarah Bahasa Arab di UIA. Beliau mengupas buku 'Asas pembentukan pemuda Islam dalam abad baru'. hmm..itulah tajuknya kalau tak silap. Penuh dengan informasi berguna. Terima kasih ustaz!.


Apapun, setinggi-tinggi tahniah kepada AJK pelaksana AKRAM ’08 yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan perasmian tersebut. Namun, program AKRAM ’08 tidak hanya kan terhenti pada malam tadi. Ia dinamakan Akademi Ramadhan dan akan berterusan memeriahkan dan menghidupkan Ramadhan dengan tema rasminya ‘tiada hari tanpa Al-Quran’ sehingga 22 September, iaitu hari penutupan AKRAM ’08.


Harapan saya, semoga AKRAM ’08 akan Berjaya mencapai objektifnya seterusnya memberikan pengalaman kepada ahli PMIUM untuk merasai kemanisan Bulan yang diberkati Allah ini.


p/s: jangan lupa upgrade ibadah dibulan mulia ni..masa yang paling sesuai untuk kita tebus semua dosa-dosa lampau...

jangan nanti dah habis Ramadhan, baru kita nak menyesali...

Thursday, September 4, 2008