Selamat Menyambut awal Muharram







Thursday, December 17, 2009

Majlis Muhadharah 2009





KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia Al-Allamah Profesor Dr Yusof Al-Qadrawi akan menghadiri Majlis Muhadharah Perdana 2009 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya Sabtu ini.

Majlis itu, anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), bertujuan meningkatkan kesatuan fikrah dan perpaduan masyarakat Islam di Malaysia serta menjana pemikiran umat Islam yang dinamik dan progresif.

Menurut kenyataan Jakim Selasa, muhadharah bersama-sama Dr Yusof merupakan julung kali dianjurkan jabatan itu dan penyertaan adalah percuma untuk orang ramai.

Jakim boleh dihubungi di talian 03-88864178/4172.

-- BERNAMA

Wednesday, December 16, 2009

La Ghadhob...





Salam,

Sila eja...M.A.R. A.H... Marah. Ye, Marah! Suatu sifat yang semua orang ada. Siapa yang tidak pernah marah? Bezanya samada ianya sedikit ataupun banyak, cepat ataupun lambat. Marah boleh dikategori kepada 2 iaitu (1) Marah kerana faktor agama dan (2) Marah kerana faktor peribadi. Kita dibolehkan marah jika ia melibatkan faktor agama asalkan sifat tersebut memberikan kesan positif kepada Islam dan umatnya dan ianya juga merupakan marah yang terpuji. Sebaliknya, kita dilarang sama sekali marah kerana faktor peribadi kerana ianya merupakan marah yang tercela. Di sini, saya ingin berkongsi dengan anda semua tips untuk mengawal marah. La Ghadhob...

Jika dirujuk kepada hadis-hadis Rasulullah s.a.w., ada beberapa tips iaitu:

[1] Mengenal asal-usul marah, bahawa ia berasal dari sikap tinggi diri yang ada pada seseorang.

[2] Menyedari peranan syaitan yang suka membuat manusia marah. Syaitan menunggu ketika manusia dalam keadaan lemah seperti letih, tertekan, terburu-buru dan sebagainya. Dalam keadaan seperti ini syaitan mencelah dengan cucukan sikap marah.

[3] Rasulullah s.a.w. pernah menerangkan bahawa orang yang kuat bukanlah mereka yang memenangi pertarungan gusti tetapi yang berjaya mengawal kemarahannya. [Shahih Muslim, no: 2608] Orang yang mudah marah, dia sebenarnya orang yang lemah sekalipun dalam beberapa aspek lain dia orang yang berjaya. Maka jadilah orang yang kuat, yakni orang yang dapat mengawal kemarahannya.

[4] Jika sedang marah, duduklah, Jika sedang duduk, baringlah: "Jika salah seorang dari kalian marah dalam keadaan berdiri maka hendaklah dia duduk agar marah hilang darinya. Jika tidak hendaklah dia baring." [Sunan Abu Daud, no: 4782]

[5] Jika sedang bercakap, maka diamlah: "Jika salah seorang dari kalian marah, hendaklah dia diam." [Musnad Ahmad, 1/239]

[6] Mengambil wudhu': "Sesungguhnya marah berasal dari syaitan dan syaitan berasal dari api. Sesungguhnya api itu dipadam dengan air. Oleh kerana itu jika salah seorang dari kalian marah, hendaklah dia berwudhu'." [Sunan Abu Daud, no: 4784]

[7] Menginginkan balasan yang baik: "Seorang hamba tidak meneguk tegukan yang lebih baik di sisi Allah daripada tegukan marah yang dia tahan kerana mencari keredhaan Allah Azza wa Jalla." [Sunan Ibn Majah, no: 4189]


Seseorang pernah bertanya: "Wahai Rasulullah! Tunjukkan aku perbuatan yang memasukkan aku ke syurga." Rasulullah menjawab: "Engkau jangan marah." [Majma az-Zawaid 8/70]

diolah dari blog HafizFirdaus. com


Simposium fiqh....





Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Selangor dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Agama Islam Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Negeri Selangor akan menganjurkan :

Program
SIMPOSIUM FIQH MASYARAKAT BUKAN ISLAM DI MALAYSIA


Tarikh dan Masa
23 - 24 Disember 2009 / 06 - 07 Muharam 1431H
8.30 am hingga 5.00 pm


Tempat
Dewan ANNEX, SUK, Shah Alam


Perasmian
Tan Sri Dato’ Abd Khalid bin Ibrahim,
Dato’ Menteri Besar Selangor


Ucaptama
YBhg. Dr Wahbah Az-Zuhaily
Pengantar Fiqh Masyarakat Bukan Islam dalam Negara Islam



Antara Kertas Kerja yang akan dibentangkan

1. Prinsip-prinsip Usul Dalam Pembinaan Hukum Fiqh Masyarakat Bukan Islam Masa Kini

2. Siyasah Syar’iyyah Dalam Membentuk Gagasan Fiqh Masyarakat Majmuk

3. Pengaruh Uruf Dalam Pembentukan Fiqh Masyarakat Bukan Islam

4. Latar Belakang Sejarah, Politik, Budaya dan Sosial Masyarakat Bukan Islam di Malaysia

5. Hubungan Masyarakat Islam dan Masyarakat Bukan Islam Dalam Konteks Sejarah Islam

6. Bagaimana Berinteraksi dengan Non Muslim dalam Konteks Malaysia

7. Penglibatan Orang Bukan Islam Dalam Sistem Kehakiman Syariah

8. Hukum-hukum kekeluargaan bukan Islam dalam Perundangan

9. Jizyah kepada warganegara Bukan Islam : Realiti Malaysia

10. Baitul Mal, Zakat, Sistem Percukaian dan Harta Negara serta Hubungannya dengan Masyarakat Bukan Islam Menurut Pandangan Islam

11. Islam dan Toleransi Budaya Dalam Konteks Masyarakat Majmuk di Malaysia

12. Perayaan Bukan Islam Dalam Sebuah Negara Islam

Sila hubungi Sdra Azmi - 0379554300 untuk maklumat lanjut

Persatuan Ulama' Malaysia
8-4 The Right Angle,
Jalan 14/22, Seksyen 14,
46100 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan

Monday, December 14, 2009

Keberkatan hidup...




AMBIL BERKAT....

Masyarakat kita amat memberi perhatian kepada amalan “Ambil Berkat” dimana mereka mencarinya pada waktu, tempat dan amalan tertentu yang mereka dakwa memiliki berkat. Ambil saja contoh meraikan malam Tahun Baru Hijrah, menziarahi kubur yang dianggap keramat dan membaca zikir sekian-sekian sebanyak 1000 kali atau lebih. Semuanya dilakukan dengan harapan mengambil berkat daripada sesuatu waktu, tempat dan ibadah.

“Ambil Berkat” dalam bahasa Arab disebut Tabarruk. Perkataan berkat pula dalam bahasa Arab disebut Barakah bererti kebaikan, keutamaan, nikmat, anugerah dan kurnia yang melimpah-limpah. Di sini terdapat tiga perkara penting yang perlu diketahui. Pertama, Barakah adalah milik Allah s.w.t. sepenuhnya. Kedua, hanya Allah yang memiliki sifat Tabaraka, iatu yang layak memberikan Barakah kepada sesuatu waktu, tempat dan amalan yang dikehendaki- Nya. Ketiga, manusia tidak boleh mendakwa sesuatu waktu, tempat dan amalan memiliki Barakah melainkan berdasarkan dalil daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Jika manusia pandai-pandai menyandarkan keberkatan kepada sesuatu waktu, tempat dan amalan tanpa dalil, maka dia jatuh ke lembah syirik kerana telah meletakkan dirinya sejajar dengan Allah.

Wadus! Heavy sungguh!

Jangan bimbang. Bahagian yang heavy hanya satu perenggan di atas. Seterusnya ringan dan mudah insya-Allah. Nak tak nak, saya terpaksa menyampaikannya kerana ia melibatkan antara tauhid dan syirik, syurga dan neraka. Sebenarnya amalan “Ambil Berkat” bukanlah semuanya salah. Jika keberkatan yang dicari adalah terhadap sesuatu yang berdasarkan dalil, maka ia disyari‘atkan dan mampu mendatangkan kebaikan, keutamaan, nikmat, anugerah dan kurnia yang melimpah-limpah kepada kita.

Sebenarnya tanpa kita sedari, sebahagian daripadanya lazim kita lakukan setiap hari, bahkan dua tiga kali dalam sehari. Contoh yang terbaik ialah makan. Iyya! Sarapan pagi, makan tengahari, minum petang dan malam malam. Ia adalah amalan yang memiliki keberkatan di dalamnya. Tak percaya? Mari kita kaji beberapa amalan ketika makan yang memiliki keberkatan di dalamnya.


1) Menyukat kadar makanan.

Apabila ke pasar, jangan membeli sesuka hati. Apabila hendak memasak, jangan ambil ikan, daging atau sayur dari peti sejuk sesuka hati. Apabila hendak makan, jangan mencedok sesuka hati. Sebaliknya hendaklah disukat pada kadar atau jumlah yang berpatutan. Semua ini bukan sahaja kerana menjaga ekonomi, kesihatan, kelangsingan pinggang dan berat badan, tetapi juga kerana ingin mengambil berkat daripadanya. Rasulullah s.a.w. berpesan: “Sukatlah makanan kalian, nescaya kalian akan diberkati.” [Shahih al-Bukhari, no: 2128]


2) Berkumpul apabila makan.

Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya): “Berkumpullah kalian ketika makan dan sebutlah nama Allah padanya (Bismillah), nescaya makanan kalian akan diberkati.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 3764] Oleh itu makan bersama-sama adalah satu amalan yang memiliki berkat di dalamnya. Berusahalah untuk makan bersama-sama, sama ada bersama ahli keluarga di rumah, rakan-rakan dalam bilik asrama, guru dan pensyarah di kafeteria kolej atau sahabat handai di restoran. Elakkan daripada makan bersendirian pada waktu yang berasingan kerana ia tidak diberkati.


3) Makan dari tepi pinggan.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dalam kitab Sunannya, no: 1805, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Keberkatan turun di bahagian tengah makanan, maka makanlah dari tepinya dan jangan dari tengahnya.”

Apabila kita makan di pinggan, mulakan dari tepi, jangan di tengah. Apabila kita menceduk lauk, ceduk yang tepi, bukan yang tengah. Jangan diusik yang tengah agar keberkatan dapat sentiasa turun dan mengalir kepada yang ditepi dan sekelilingnya. Apabila yang ditepi atau sekeliling pinggan sudah habis, barulah diambil yang tengah. Demikian adab makan yang bukan sahaja diberkati tetapi juga memiliki nilai etika yang mulia.


4) Melicinkan pinggan.

Bercakap tentang etika mulia ketika makan, ada yang memandang perbuatan melicinkan pinggan dan menjilat jari sesudah makan sebagai etika yang kurang baik. Di sini terdapat satu perkara penting yang perlu dibezakan, iaitu etika yang mulia atau buruk tidak ditentukan mengikut ukuran manusia tetapi berdasarkan ukuran Islam. Merujuk kepada perbuatan melicinkan pinggan sesudah makan, ia adalah perbuatan yang diberkati oleh Allah s.w.t. kerana Rasulullah s.a.w. telah menyuruh untuk melakukannya dengan alasan: “…kerana kalian tidak tahu makanan di bahagian mana yang diberkati.” [Shahih Muslim, no: 2033]

Justeru sekali pun kita mula makan dari yang tepi dan berakhir dengan yang tengah, akan tetap ada makanan yang tersisa di sana-sini. Hendaklah dilicinkan yang tersisa tersebut. Di sini tidak timbul persoalan “sudah kenyang” atau “tak larat nak habiskan semua” kerana sejak awal kita telah menyukat kadar makanan yang diletak di atas pinggan (rujuk poin nombor 1 di atas).


5) Menjilat jari.

Keberkatan bukan sahaja dengan melicinkan pinggan tetapi juga dengan menjilat jari. Termasuk dalam keberkatan ini ialah menjilat apa saja alat yang digunakan untuk makan seperti sudu, garpu, pisau dan chopstick. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila seseorang dari kalian makan, maka jilatlah jari-jarinya kerana dia tidak tahu di bahagian jari manakah keberkatan itu berada.” [Shahih Muslim, no: 2035]

Demikian lima amalan sebelum, semasa dan selepas makan yang boleh diambil berkat darinya. Hmmm, bila sembang bab makan, sudah tentu ada yang terasa lapar. Silakan. Akan tetapi jangan lupa untuk menyukat kadar makanan yang diambil, duduk makan bersama-sama, mendahului dengan bacaan Bismillah, bermula dengan yang tepi, berakhir dengan yang tengah, licinkan pinggan dan jilatlah jari.





Betulkah kita menuntut ilmu selama ini?...





Salam… perkongsian di bawah ini adalah dipetik dari blog HafizFirdaus. com.


Assalamualaikum,

Boleh akhie HF terangkan kepada saya teknis belajar yang digunakan. Saya juga mencari kaedah dan cara yang bermanfaat agar dapat juga mendalami > ilmu-ilmu agama dengan baik.

wassalam.


Jawapan:


wa'alaikumussalam warahmatullah,


Sebenarnya tidak ada teknik belajar yang khusus dan tersusun. Memandangkan akhie bertanya, saya dapat rumuskan beberapa teknik atau poin penting untuk kita belajar ilmu-ilmu agama.


[1] Ikhlas


Ini adalah poin terpenting. Hendaklah kita menuntut ilmu ikhlas kerana Allah. Jika kita menuntut ilmu untuk menggapai keuntungan duniawi, untuk menjaga nama baik, untuk perlagakan sesama ulama', merendahkan orang lain dan sebagainya, ia tidak akan menghasilkan kejayaan yang hakiki di sisi Allah.


Kita mungkin berjaya di sisi ukuran kita dan memperoleh sanjungan sebahagian manusia tetapi di sisi Allah ia adalah sesuatu yang buruk dan bakal memperoleh azab-Nya di Akhirat nanti.



[2] Minat.


"Minat" (Interest) adalah faktor yang dapat menyelesaikan separuh pertama hajat seseorang. Separuh kedua ialah berusaha untuk membenarkan hajat tersebut.


"Minat" seseorang kepada sesuatu perkara mampu membawa dia ke tahap yang sebelum itu tidak terbayang olehnya.


Minat seseorang ke bidang komputer umpamanya mampu menjadikan dia seorang programmer atau juru teknik komputer tanpa dia sendiri pada asalnya memiliki apa-apa kelulusan formal dalam bidang tersebut.


Oleh itu seseorang itu perlu "minat" dalam ilmu-ilmu agama jika dia mahu mendalaminya. "Minat" ini boleh diterapkan dalam diri seseorang dengan memikirkan manfaatnya kepada diri sendiri dan masyarakat sekeliling, ditambahi dengan ganjaran Allah di Hari Akhirat nanti.



[3] Bersabar.


Tidak ada short cut dalam menuntut ilmu. Tidak boleh duduk dan angan-angan diri sendiri umpama sebuah komputer: letak sahaja cdrom dan install, program terus berjalan.


Menuntut ilmu harus berperingkat dan bertahap-tahap. Bagi setiap individu peringkat dan tahap berbeza-beza kerana manusia memiliki kemampuan yang berbeza di dalam mencerna ilmu-ilmu yang diterimanya. Ada yang cepat, ada yang sederhana dan ada yang lambat.


Yang pentingnya manusia itu berusaha dengan kemampuan yang dimiliki oleh. Kemampuan itu sendiri sesuatu yang tidak tetap (not fixed), ia sentiasa dinamis selari dengan kadar usaha seseorang itu.


Oleh itu yang penting ialah berusaha dan bersabar di atas usaha tersebut.


Dalam sebuah hadisnya, Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Menuntut ilmu adalah wajib ke atas Muslim." Baginda tidak bersabda, umpama: "Menjadi pandai adalah wajib ke atas Muslim."


Bererti yang dituntut oleh Islam ialah berusaha menuntut ilmu dan bukannya menjadi pandai tanpa berusaha terlebih dahulu.



[4] Berani menghadapi kegagalan.


Seorang bayi tidak akan dapat berjalan jika dia enggan menerima risiko terjatuh ketika berlatih berjalan.


Seorang penunggang basikal akan cepat bangun apabila terjatuh jika sebelum itu dia sudah biasa terjatuh, berbanding dengan seseorang yang sebelum itu tidak pernah jatuh.


Seorang pemain skate board akan berani membuat stunt di papan lunsur jika sebelum itu dia telah berlatih dan menerima hakikat bahawa jatuh itu adalah salah satu metode latihan yang akan membawa dia ke kejayaan.


Demikian juga seorang penuntut ilmu tidak akan berjaya jika sebelum itu dia enggan menerima risiko tersilap atau terkeliru.


Sebahagian orang menuntut ilmu kerana ingin menjadi mujtahid yang maksum dan menulis buku yang 100% betul umpama al-Qur'an. Termasuk dalam kategori ini adalah orang yang enggan menerima teguran atau pembetulan.


Orang-orang sebagaimana di atas tidak akan mencapai kejayaan yang sebenar kerana mereka sendiri pada asalnya takut untuk mencapai kejayaan tersebut.



[5] Mempelbagaikan cara berinteraksi dengan ilmu.


Manusia menerima dan memproses ilmu dengan pelbagai cara. Jika seseorang itu hanya mengikat dirinya kepada satu cara, maka dia akan terikat selama-lamanya dengan cara itu sahaja. Apabila cara itu hilang, maka dia tidak akan lagi dapat memperoleh apa-apa ilmu.


Contohnya ialah orang yang hanya mahu belajar secara face to face dengan seorang guru. Apabila gurunya tiada, dia tidak lagi dapat mempelajari apa-apa ilmu.


Selain itu, termasuk dalam "mempelbagaikan cara berinteraksi dengan ilmu" ialah mempelajari cara-cara menyampaikan ilmu. Apakah gunanya ilmu yang banyak apabila ia tidak boleh dikongsikan kepada orang ramai yang memerlukannya ?


Sebagai contoh, banyak orang yang berilmu tetapi tidak tahu menggunakan MS Word sehinggakan kertas kerja 10 mukasurat mengambil masa sebulan untuk siap. Itupun dengan macam-macam kesilapan format dsbgnya. Banyak juga yang berilmu tetapi tidak tahu untuk bercakap (Public speaking) sehingga akhirnya tinggallah orang yang pandai bercakap tetapi sikit ilmu yang memenuhi jadual ceramah di masjid dan surau.


Termasuk juga dalam kategori "mempelbagaikan cara berinteraksi dengan ilmu" ialah mempelajari tentang diri manusia sendiri daripada orang-orang yang kerja mereka memang mengkaji manusia.


Orang-orang seperti ini, yang juga dikenali sebagai "Self improvement guru" adalah mereka yang memiliki keahlian dalam mengkaji tabiat manusia dan cara-cara untuk memperbaikinya.


Banyak hasil kajian mereka yang dapat kita manfaatkan seperti susunan masa yang efektif (7 Habits of Successful people), daya ingatan (Brain power), kaedah membaca (speed reading), pengendalian tekanan hidup (stress management) dan lain-lain.



[6] Menjauhkan perkara yang sia-sia.


Mustahil untuk berhimpun di dalam satu jasad perkara-perkara mungkar dan ilmu-ilmu agama kerana kedua-duanya adalah sesuatu yang saling bertentangan.


Bukan sekadar perkara yang mungkar, yang sia-sia dan samar-samar juga adalah sesuatu yang bertentangan.


Oleh itu hendaklah dijauhi segala yang sia-sia (al-Laghw) atau samar-samar seperti muzik, URTV, rokok, mendengar/melihat/ mencari kesalahan orang dan lain-lain.


Semua di atas digantikan dengan zikir, solat sunat dan bacaan al-Qur'an. Perlu dingatkan bahawa 3 di atas adalah sebagai pengisi masa lapang ketika berehat daripada mengkaji ilmu-ilmu agama.



[7] Berdoa dan Tawakkal.


Mencapai kejayaan dalam Islam memiliki beberapa langkah:


[a] Berhajat (cita-cita), [b] berusaha, [c] BERDOA, [d] TAWAKKAL dan [e] menyemak semula.


Ini adalah sesuatu yang straight forward tanpa memerlukan ulasan lanjut.


Menyemak semula adalah satu poin yang tidak kurang pentingnya kepada ilmu adalah satu perkara yang tidak memiliki titik noktah. Ilmu sentiasa bergerak dan dinamis sehingga menjadi satu kelaziman di kalangan para ilmuan mereka meralat pendapat mereka yang awal.


Wallahu a'lam


Thursday, December 10, 2009

Kem Remaja Unggul..try it once..



Sukacita saya mengajak pelajar-pelajar lepasan SPM/STPM dan STAM khususnya, ke program "Kem Remaja Unggul (KRISTAL '09)" yang dianjurkan oleh Yayasan Dar Al-Quran, Temerloh. Program ini bertujuan :
  • mendedahkan kepada peserta dunia kampus sebenar
  • sebagai persediaan kepada peserta menghadapi cabaran dan dugaan di universiti
  • membantu peserta memilih universiti yang sesuai dengan kursus pilihan mereka

Dengan bertemakan "MELANGKAH MENUJU MASA DEPAN DENGAN PASTI", program mengajak remaja Islam mengenal IPT ini akan diadakan sepertimana ketetapan berikut :

Tarikh : 18-20 Disember 2009

Tempat : Sekolah Islam Al-Irsyad, Kuantan

Yuran : RM30

Untuk pendaftaran boleh menghubungi

Nazrul, pengarah program ( 014-8403658), Adibah, S/U program (019-9308783), Asyraf, Publisiti (014-8408128)


Monday, December 7, 2009