Uniknya Manusia......
Alhamdulillah, saya masih diberi kesempatan untuk berkongsi sesuatu dengan rakan-rakan pembaca semua. Selawat dan salam atas junjungan Rasulullah S.A.W yang mulia. Al-Fatihah juga kita sedekahkan untuk para sahabat, tabiin, ulama’-ulama’ terdahulu serta untuk kaum kerabat yang telah dijemput Allah dahulu.
Makhluk terbaik ciptaan Allah seperti mana yang termaktub dalam kitab suci Al-Quran adalah manusia. Beruntunglah kita kerana dipilih menjadi Khalifah Allah di muka bumi ini. Namun, ada juga sesetengan manusia yang tidak sedar diuntung, sering berlagak sombong bagaikan maut tidak akan bertemu dengannya. Semoga Allah memberi hidayah kepada mereka yang masih leka dan lalai bahawa rona indah dunia tidak akan kekal selamanya.
Pengalaman saya bersama-sama rakan lain menganjurkan KAD `09 begitu berharga dan terlalu banyak untuk diungkapkan. Semakin hari usia kita bertambah, semakin banyak kesukaran yang kita hadapi. Lokasi secretariat KAD `09 di Bandar Manjalara, Kepong. Memang ia satu lokasi yang bukan dekat bagi semua penggerak KAD `09. Namun, berkat kesabaran dan rasa tanggungjawab, mereka sanggup berulang alik dari kampus masing-masing ke secretariat, setiap minggu dan setiap hari. Syabas saya ucapkan kepada mereka yang masih bertahan sehingga ke akhir program.
Benarlah kata-kata yang berbunyi, jika kita mahu mengenali seseorang, perlu melakukan 3 perkara, iaitu; bermusafir, makan dan tidur bersamanya. Pengalaman saya selama hamper 3 bulan bekerjasama dalam penganjuran KAD `09 ini, banyak mengajar saya untuk mengendalikan rakan-rakan yang pelbagai sifatnya. Dari situ, saya melihat betapa Besarnya keagungan Allah , Subhanallah, menciptakan manusia ini sungguh unik, sungguh kompleks dan sukar untuk diterjemah. Berkawan dengan pelbagai latar belakang orang memang satu cabaran yang agak besar, lantaran tidak semua orang sifatnya sama seperti kita, tidak semua orang citarasanya sama dengan kita.
Oleh itu, kita sebagai seorang rakan, perlu memahami dan menghormati sifat dan citarasa orang lain yang sememangnya amat berbeza dengan kita. Berlapang dada dengan rakan itu adalah satu pengorbanan dalam persahabatan. Setiap masalah yang datang menguji sejauh mana kematangan penggerak KAD `09 mengatasinya. Dalam usaha menyelesaikan segala kekusutan yang melanda, kerjasama dan saling berlapang dada adalah satu perkara yang amat penting.
Bagaimana kita tidak boleh menyelesaikan satu-satu masalah itu berseorangan, itu adalah fitrah manusia, kekuatannya terhad. Untuk itu, mereka memerlukan rakan-rakan pembantu dalam mencapai kejayaan. Seringkali kami di uji dengan kerenah dan sikap rakan-rakan yang lain sehingga mengalirkan airmata. Itu memang tidak dapat dinafikan, tanyalah dalam penganjuran program apa pun, masalah yang melanda akan menyebabkan kita kebuntuan ditambah lagi dengan pelbagai ragam rakan-rakan lain.
Semuanya itu adalah asam garam KAD `09. Itulah jua penguat kami sehingga ke hari ini. Sesungguhnya manusia itu sungguh unik, hatinya halus, sukar untuk ditembusi. Pemikiran manusia juga unik, lain orang, lain cara pemikirannya. Akhlaq dan sikap mereka juga unik, pelbagai sikap dapat diperhatikan dalam gerak kerja KAD `09. Uniknya manusia ini saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Semua ini menyumbang kepada keberjayaan KAD `09 1 Ogos 2009. Alhamdulillah, berkat bantuan Allah.
To be continued….