Keberkatan hidup...




AMBIL BERKAT....

Masyarakat kita amat memberi perhatian kepada amalan “Ambil Berkat” dimana mereka mencarinya pada waktu, tempat dan amalan tertentu yang mereka dakwa memiliki berkat. Ambil saja contoh meraikan malam Tahun Baru Hijrah, menziarahi kubur yang dianggap keramat dan membaca zikir sekian-sekian sebanyak 1000 kali atau lebih. Semuanya dilakukan dengan harapan mengambil berkat daripada sesuatu waktu, tempat dan ibadah.

“Ambil Berkat” dalam bahasa Arab disebut Tabarruk. Perkataan berkat pula dalam bahasa Arab disebut Barakah bererti kebaikan, keutamaan, nikmat, anugerah dan kurnia yang melimpah-limpah. Di sini terdapat tiga perkara penting yang perlu diketahui. Pertama, Barakah adalah milik Allah s.w.t. sepenuhnya. Kedua, hanya Allah yang memiliki sifat Tabaraka, iatu yang layak memberikan Barakah kepada sesuatu waktu, tempat dan amalan yang dikehendaki- Nya. Ketiga, manusia tidak boleh mendakwa sesuatu waktu, tempat dan amalan memiliki Barakah melainkan berdasarkan dalil daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Jika manusia pandai-pandai menyandarkan keberkatan kepada sesuatu waktu, tempat dan amalan tanpa dalil, maka dia jatuh ke lembah syirik kerana telah meletakkan dirinya sejajar dengan Allah.

Wadus! Heavy sungguh!

Jangan bimbang. Bahagian yang heavy hanya satu perenggan di atas. Seterusnya ringan dan mudah insya-Allah. Nak tak nak, saya terpaksa menyampaikannya kerana ia melibatkan antara tauhid dan syirik, syurga dan neraka. Sebenarnya amalan “Ambil Berkat” bukanlah semuanya salah. Jika keberkatan yang dicari adalah terhadap sesuatu yang berdasarkan dalil, maka ia disyari‘atkan dan mampu mendatangkan kebaikan, keutamaan, nikmat, anugerah dan kurnia yang melimpah-limpah kepada kita.

Sebenarnya tanpa kita sedari, sebahagian daripadanya lazim kita lakukan setiap hari, bahkan dua tiga kali dalam sehari. Contoh yang terbaik ialah makan. Iyya! Sarapan pagi, makan tengahari, minum petang dan malam malam. Ia adalah amalan yang memiliki keberkatan di dalamnya. Tak percaya? Mari kita kaji beberapa amalan ketika makan yang memiliki keberkatan di dalamnya.


1) Menyukat kadar makanan.

Apabila ke pasar, jangan membeli sesuka hati. Apabila hendak memasak, jangan ambil ikan, daging atau sayur dari peti sejuk sesuka hati. Apabila hendak makan, jangan mencedok sesuka hati. Sebaliknya hendaklah disukat pada kadar atau jumlah yang berpatutan. Semua ini bukan sahaja kerana menjaga ekonomi, kesihatan, kelangsingan pinggang dan berat badan, tetapi juga kerana ingin mengambil berkat daripadanya. Rasulullah s.a.w. berpesan: “Sukatlah makanan kalian, nescaya kalian akan diberkati.” [Shahih al-Bukhari, no: 2128]


2) Berkumpul apabila makan.

Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya): “Berkumpullah kalian ketika makan dan sebutlah nama Allah padanya (Bismillah), nescaya makanan kalian akan diberkati.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 3764] Oleh itu makan bersama-sama adalah satu amalan yang memiliki berkat di dalamnya. Berusahalah untuk makan bersama-sama, sama ada bersama ahli keluarga di rumah, rakan-rakan dalam bilik asrama, guru dan pensyarah di kafeteria kolej atau sahabat handai di restoran. Elakkan daripada makan bersendirian pada waktu yang berasingan kerana ia tidak diberkati.


3) Makan dari tepi pinggan.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dalam kitab Sunannya, no: 1805, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Keberkatan turun di bahagian tengah makanan, maka makanlah dari tepinya dan jangan dari tengahnya.”

Apabila kita makan di pinggan, mulakan dari tepi, jangan di tengah. Apabila kita menceduk lauk, ceduk yang tepi, bukan yang tengah. Jangan diusik yang tengah agar keberkatan dapat sentiasa turun dan mengalir kepada yang ditepi dan sekelilingnya. Apabila yang ditepi atau sekeliling pinggan sudah habis, barulah diambil yang tengah. Demikian adab makan yang bukan sahaja diberkati tetapi juga memiliki nilai etika yang mulia.


4) Melicinkan pinggan.

Bercakap tentang etika mulia ketika makan, ada yang memandang perbuatan melicinkan pinggan dan menjilat jari sesudah makan sebagai etika yang kurang baik. Di sini terdapat satu perkara penting yang perlu dibezakan, iaitu etika yang mulia atau buruk tidak ditentukan mengikut ukuran manusia tetapi berdasarkan ukuran Islam. Merujuk kepada perbuatan melicinkan pinggan sesudah makan, ia adalah perbuatan yang diberkati oleh Allah s.w.t. kerana Rasulullah s.a.w. telah menyuruh untuk melakukannya dengan alasan: “…kerana kalian tidak tahu makanan di bahagian mana yang diberkati.” [Shahih Muslim, no: 2033]

Justeru sekali pun kita mula makan dari yang tepi dan berakhir dengan yang tengah, akan tetap ada makanan yang tersisa di sana-sini. Hendaklah dilicinkan yang tersisa tersebut. Di sini tidak timbul persoalan “sudah kenyang” atau “tak larat nak habiskan semua” kerana sejak awal kita telah menyukat kadar makanan yang diletak di atas pinggan (rujuk poin nombor 1 di atas).


5) Menjilat jari.

Keberkatan bukan sahaja dengan melicinkan pinggan tetapi juga dengan menjilat jari. Termasuk dalam keberkatan ini ialah menjilat apa saja alat yang digunakan untuk makan seperti sudu, garpu, pisau dan chopstick. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila seseorang dari kalian makan, maka jilatlah jari-jarinya kerana dia tidak tahu di bahagian jari manakah keberkatan itu berada.” [Shahih Muslim, no: 2035]

Demikian lima amalan sebelum, semasa dan selepas makan yang boleh diambil berkat darinya. Hmmm, bila sembang bab makan, sudah tentu ada yang terasa lapar. Silakan. Akan tetapi jangan lupa untuk menyukat kadar makanan yang diambil, duduk makan bersama-sama, mendahului dengan bacaan Bismillah, bermula dengan yang tepi, berakhir dengan yang tengah, licinkan pinggan dan jilatlah jari.





Monday, December 14, 2009

0 Comments: