Alhamdulillah…setinggi kesyukuran kepada Allah rabbul jalal kerana dengan Ar-Rahman dan Ar-Rahim Nya dapat kita meneruskan Ramadhan sehingga hari ke-12 ini. Selawat dan salam atas junjungan besar Rasulullah S.A.W. Al-Fatihah untuk semua sahabat-sahabat tabiin dan ulama’-ulama’ terdahulu serta kaum kerabat kita yang telah kembali ke rahmatullah.
Post saya kali ini barang kali ringkas sahaja. Seperti yang kita semua maklum, pada isnin lepas Negara kita telah mencapai umur kemerdekaan yang ke 52 tahun. Alhamdulillah dan tahniah untuk semua. Tetapi, kerap kali singgah di telinga saya, rakyat Malaysia masih lagi mengamalkan sikap-sikap yang menunjukkan mereka dijajah. Walaupun ia tidak Nampak secara kasar, namun kesan halusnya itu sangat mendalam.
Pemikiran, pemakaian, akhlaq muda-mudi sekarang menjadi penunjuknya. Pelbagai budaya pelik yang diserap masuk menyebabkan budaya ketimuran yang lebih baik tenggelam dan luput dilupakan begitu sahaja. Walhal, budaya yang diikut daripada Negara barat itu mengundang pelbagai mudharat kepada masyarakat sekarang dan akan datang.
Siapa tidak sedih apabila budak berumur 6 tahun lebih banyak menghafal lagu-lagu yang melalaikan berbanding ayat-ayat suci Al-Quran. Begitu jauh bezanya masyarakat kita dengan ulama’ pada zaman dahulu, apatah lagi jauhnya untuk mengikut cara hidup Rasulullah. Lalu, bagaimanakah kita mengatakan bahawa kita sudah merdeka?merdeka dari sudut fizikal tidak memberi kesan sebesar merdekanya minda kita dari semua bentuk penjajahan.
Sempena Ramadhan yang mulia ini, alangkah baiknya, jika kita jadikan diri kita bebas dan merdeka daripada penjajahan hawa nafsu dan bisikan buruk yang kerap membisikan perkara negatif. Kita jadikan diri kita bebas untuk melakukan amal ibadah kepada Allah dalam keadaan yang tenang dan khusyu’. Semoga Ramadhan kali ini Berjaya menjadikan kita ‘hamba’ yang bebas dan merdeka daripada perkara-perkara yang melalaikan, jika tidak, hidup ini hanyalah indah sementara, diakhirnya kita akan merana.
0 Comments:
Post a Comment