Qalbu..hati..jiwa..ruh..perasaan..


Assalamualaikum wbr

Alhamdulillah, setinggi syukur ke hadrat ALLAH atas segala nikmat dan kurniaanNya yang tidak terhingga. Jika dihitungkan kembali segala nikmat yg Allah bagi, pastilah tidak berkesudahan. Semoga kita semua dijadikan di kalangan orang-orang yang bersyukur InsyaAllah.

Post kali ni sebenarnya adalah lebih kepada untuk memberitahu kepada diri saya bahawa Allah menjadikan sesuatu kejadian di muka bumi ini tidaklah sia-sia, bahkan disebaliknya terkandung seribu rahmat yang tidak pernah terfikir oleh kita. Kadang-kadang peristiwa yang berlaku adalah di luar jangkaan kita, namun ia telah tertulis sejak azali lagi. Sebab itu perlunya kita beriman dengan Qada’ dan Qadar Allah supaya kita tidak sekali-kali mempersoalkan apa yang telah terjadi yang membawa kepada menyalahkan ALLAH.

Peristiwa yang berlaku sungguh spontan dan tidak pernah terjangkau dek pemikiran, namun setelah ia terjadi, barulah kita sedar bahawa ada sesuatu yang kita tidak perasan selama ini. Walaupun kesedihan menusuk qalbu, ingatlah, ALLAH jadikan sesuatu itu tidak sia-sia. Hikmahnya mungkin cepat dan mungkin lambat kita dapat lihat. Apapun, Allah sentiasa bersama kita. Allah Maha Melihat dan Mendengar, Dia tahu apa yang berlaku dan kita tidak perlu mencari makhluq sebab khaliq sudah mengetahui segalanya.

Tapi, itulah manusia…mudah tertipu dengan perasaan sendiri. Seringkali ingin mencari selain Allah, walhal Allah sangat dekat dengan kita dan menunggu rintahan hamba-hambaNya. Tapi kita lupa semua tu, Allah tidak diendahkan bahkan kita mencari makhluq untuk memohon bantuan dan sebagainya.

Hati adalah tempat jatuhnya pandangan Allah kepada seseorang manusia, oleh itu ia sangat sensitif dan mesti dijaga dengan baik. Menjaga hati bukanlah mudah,ia memerlukan usaha yang berterusan dan perlu diberikan makanan rohani yang secukupnya. Apabila hati sudah bersih, maka ALLAH akan memberikan kurnia yang berlipat kali ganda kepada pemilik hati tersebut.

Sebagai hamba yang lemah, hati dan perasaan tidak boleh dipisahkan. Apabila sakit 1 dan 1 lagi akan turut terasa. Hati yang telah dilukai mengambil masa yang berbeza untuk dipulihkan berdasarkan kapasiti seseorang itu. Untuk tahu hati kita kuat atau tidak, perlulah diuji dahulu dengan mengalami pelbagai perkara. Saya masih dalam proses menguji hati saya sama ada lemah atau kuat, ternyata hati ini masih lemah dan dalam proses pembaikan setelah diuji oleh Allah mengalami perkara-perkara yang cukup menusuk qalbu yang akhirnya membuatkan kita tersungkur lemah.

Tapi ujian itu cukup indah bagi mereka yang rapat hubungannya dengan Allah, dirasakan seperti sentiasa dalam penjagaan dan pemerhatian Allah. Apapun, sebagai hambanya yang lemah kita perlu bangkit untuk meneruskan tugas-tugas sebagai khalifah Allah. Kata Hasan Al-banna “Tugas-tugas kita lagi banyak daripada masa yang kita ada”. Oleh itu, mengapa kita perlu membuang masa untuk melayan perkara-perkara yang tidak membantu dalam menegakkan ISLAM. Cukuplah bersedih wahai hati, cukuplah.

Tuesday, November 16, 2010