Al-Ikhlas...





Alhamdulillah, hari ini saya suka untuk berkongsi sesuatu yang saya dapat daripada kelas tafaqquh fid din yang diadakan di Akedemi Pengajian Islam pada minggu lepas. Antara tajuk yang dapat saya ikut minggu lepas yang mengupas bab ikhlas. Ustaz yang menyampaikannya ialah ustaz Rusdi Ramli daripada Jabatan Fiqh Usul.

Antara isinya yang boleh saya kongsikan bersama rakan-rakan ialah, ikhlas ialah satu sifat yang abstrak yang sukar untuk kita perolehi lantaran daripada diri kita yang diselubungi dosa setiap hari. Sifat ikhlas ialah satu sifat tasawuf yang memerlukan seseorang hamba itu mengosongkan hatinya dan hanya meletakkan Allah sahaja dalam hatinya. Dia akan menghapuskan dan memusnahkan semua perkara-perkara yang berkait dengan manusia dan dunia dalam ibadah dan kehidupan sehariannya, bekerja dan belajar kerana Allah. Dunia dan seisinya tidak menjanjikan apa-apa lantaran itulah seorang hamba yang sufi hanya mencari redha Allah semata-mata.

Antara perkara-perkara yang boleh menghalang sifat ikhlas ialah:

Mencari keredhaan dan kepercayaan manusia

Kita beramal supaya orang tidak mengutuk kita

melakukan sesuatu perkara itu untuk kepentingan diri sendiri

Riya’ dan takbur juga akan menghapuskan ikhlas

Melakukan sesuatu mengikut kehendak nafsu

Melihat diri sendiri lebih baik daripada orang lain.

Amalan-amalan kita memang tidak akan terbatal jika kita melakukan sesuatu disertai dengan perkara-perkara di atas, tetapi nilainya akan berkurangan. Oleh yang demikian, hendaklah kita sentiasa berdoa kepada Allah supaya kita termasuk dalam kalangan orang-orang yang ikhlas yang mana bebas daripada gangguan syaitan dan bisikan hawa nafsu.

Imam Ghazali pernah menyebut bahawa berjaga dalam 3 perkara, iaitu;

Takbur

Hasad

‘ujub

Yang mana sifat-sifat ini tersembunyi dalam diri kita dan kita juga sukar untuk mengesannya. Sebab itu kita sentiasa disarankan supaya selalu beristighfar setiap hari.

Ustaz juga menyebut tentang sifat orang mukmin sebenar yang mana ia mengalahkan kehendak hawa nafsunya dengan membangkitkan agamanya dalam hatinya. Menjadikan hatinya sebagai ‘suaidak al-qulub’ bermaksud dalam hatinya hanya ada Allah, kalimah La ilaha illalah sentiasa tersemat kukuh dalam hatinya, manakala perkara-perkara lain hanya berlegar-legar di luar hati. Orang mukmin yang benar-benar ikhlas akan membebaskan dan menjauhkan dirinya daripada belenggu dunia yang sentiasa menggamit kesenangan dan kebahagiaan yang tidak diredhai Allah. Mereka juga akan memegang aqidah dengan kuat dan selamat daripada syirik iaitu tidak menjadikan selain Allah sebagai tuhan mereka.

Contohnya dalam bab makan, orang mukmin hanya akan makan makanan yang diyakini halal, berkhasiat untuk tubuh badannya serta bersih dan suci dan tidak bertentangan dengan syara’. Dia tidak akan makan mengikut kehendak hawa nafsu yang lebih menyukai dunia berbanding akhirat. Dia hanya akan makan untuk menguatkan badan dan membolehkannya beribadah kepada ALLAH.

Jika kita lihat dan teliti dengan lebih dalam, ikhlas adalah hasil ataupun buah daripada tauhid. Ikhlas dan tauhid sangat berkait rapat. Ini menunjukkan jika kita ada sifat ikhlas, keyakinan kita pada Allah sangat kukuh, dan jika iman kita kukuh, sifat ikhlas itu akan terlahir dengan sendirinya.

Kalimah tauhid adalah sebaik-baik zikir sebab itulah kalimah toiyyibah ini perlu kita lafazkan setiap hari untuk mengukuhkan dan memperbaharui iman dan niat sebenar kita. La ilaha illalah lebih berat daripada dunia dan seisinya jika ditimbang di mizan nanti.

Orang yang menjadi ‘abdun dunya’ iaitu hamba dunia sangatlah rugi, kerana kehidupan dunia ini adalah fana’, hancur dan tidak akan kekal selamanya. Oleh itu, marilah kita berdoa supaya sentiasa menjadi abdullah´yang hakiki. Hamba yang taat dan bersyukur dengan segala apa yang dikurniakanNya.


Thursday, October 22, 2009

0 Comments: