Mencari masa yang sesuai untuk menghadap komputer riba ini bukanlah satu perkara yang sukar bagi saya, sebab peratusan masa saya setiap hari banyak saya habiskan dihadapan alat elektronik ini. Namun, untuk menaip sesuatu yang menjadi tatapan umum memerlukan fokus yang lebih. Saya cuba gagahkan juga untuk memberi sesuatu kepada semua.

Suka saya untuk menyambung isi perbincangan yang diperolehi ketika forum yang dianjurkan oleh persatuan mahasiswa sains gunaan dengan pengajian Islam yang bertajuk ’hikmah yang hilang’. Semoga ia bermanfaat untuk semua.



Ini adalah cabaran untuk generasi sekarang, bagaimana mahu menaikkan kembali zaman kegemilangan Islam yang dahulunya sangat gah dengan penguasaan pelbagai ilmu. Generasi hari ini perlu lebih berdikari dengan apa yang ada. Jika nak dibandingkan dengan generasi yang lepas, mereka lagi sukar untuk mendapatkan maklumat, mereka tidak dibekalkan dengan kemudahan-kemudahan seperti yang kita kecapi hari ini. Namun, pencapaian mereka sangat membanggakan sehingga digunakan sebagai rujukan pada hari ini.

Saya kira jika mereka tidak berusaha untuk mendalami ilmu pada masa dahulu, kita yang ada pada hari ini pasti tidak akan mampu mengecapi ledakan ilmu teknologi. Seharusnya mahasiswa pada hari ini, perlu meningkatkan lagi prestasi pencapaian dalam semua bidang yang diceburi. Ini kerana sistem pembelajaran pada zaman ini telah dipermudahkan. Semakin lama semakin mudah, serta dilengkapi dengan pelbagai bahan-bahan untuk menghasilkan keluaran yang lebih baik.

Menjadi seorang yang hebat dan cemerlang dalam bidang yang diceburi bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Pelbagai pengorbanan diperlukan, masa, tenaga, kewangan dan sebagainya. Namun, itulah yang disarankan oleh ISLAM. Semuanya dilakukan demi kesejahteraan umat sejagat. Muslim yang cemerlang, tidak akan hanya berada di satu tahap sahaja. Mereka perlu sentiasa upgrade tahap pencapaian. Seperti mana yang dinyatakan oleh panel, muslim perlu tingkatkan kepada mukmin, seterusnya muhsinin, kemudian muttaqin dan akhirnya barulah mereka dapat mengecapi kecemerlangan sebenar.

Kombinasi antara hati yang bersih dan juga semangat yang besar untuk mendalami ilmu Allah, adalah antara faktor-faktor kejayaan yang berterusan. Allah sangat sayang kepada hambaNya yang sentiasa berusaha untuk membersihkan hati, hati adalah tempat pandangan Allah. Hati jugalah yang akan menentukan kedudukan seseorang disisi Allah. Jika hati bersih, semua perkara dilihat dengan mata hati dan ini membolehkan seorang individu muslim itu sentiasa berada di landasan yang sebenar.

Di akhir forum tersebut, para panelis melontarkan cabaran kepada semua hadirin, terutamanya pelajar-pelajar sains gunaan untuk mencipta kecemerlangan seperti mana pada zaman kegemilangan ISLAM satu masa dahulu malah lebih baik. Allah memandang usaha yang kita lakukan untuk mencari keredhaanNya, bukanlah hasil akhir yang diutamakan Allah. Sebagai orang ISLAM, kita semua perlu menyahut cabaran itu secara positif dan menjadikannya sebagai satu bahan motivasi untuk menegakkan kalimah toyyibah di muka bumi ini. InsyaAllah.


Monday, April 13, 2009

0 Comments: