Qurbankanlah Cinta duniamu...(last)


Si ayah lalu berjumpa dengan anak kesayangannya. Memberitahu akan mimpinya dan perintah daripada Allah. Dalam esak tangisan si ayah menceritakan perintah Allah itu, si anak dengan tenang menjawab. “ayah, bukankah dahulu ayah pernah berdoa supaya Allah menjadikan kita semua berada di dalam kalangan orang-orang yang sabar dan bertaqwa. Sekarang Allah sedanga menguji kesabaran dan keimanan kita ayah. Janganlah kita bersedih di atas perintah Allah ini. Sesungguhnya Allah mengetahui tentang hikmah sesuatu perkara itu. Aku redha jika ini perintah Allah. Aku ingin menjadi hamba yang sabar.


Sayu si ayah mendengar jawapan daripada si anak yang begitu sabar dan menjadi buah hatinya selama ini. Anak yang sangat disayanginya itu, atas arahan Allah, mesti disembelihnya. Sedih si ayah membayangkan peristiwa yang bakal dilalui itu. Namun, mereka tetap perlu melaksanakan perintah Allah yang Maha Esa itu. Lalu, pada masa yang telah ditetapkan, pergilah mereka berdua ke tempat pergunungan yang tinggi. Si anak hanya mengekori ayahnya daripada belakang. Berbekalkan parang yang tajam, mereka sampai ke tempat yang diperlihatkan di dalam mimpi si ayah tersebut. Lalu, si ayah melihat wajah si anak yang putih bersih dan tenang itu. Lalu, si anak berkata “ wahai ayah, segerakanlah perintah Allah ini ayah.” Si ayah lalu membaringkan anaknya yang tampan dan semakin meningkat dewasa dengan penuh kasih sayang, penuh teliti dan berhati-hati di atas seketul batu besar untuk melakukan penyembelihan. Si anak melihat wajah ayahnya yang sayu. Lantas dia teringatkan ibunya. Berkata si anak “wahai ayah, tanggalkanlah baju ku ayah. Aku tidak mahu nanti ibu bersedih melihat bajuku yang dipenuhi darah ini. Aku kasihankan ibu yang akan bersedih nanti ayah. Dan, palingkanlah wajahku ke bawah ayah agar kau tidak bersedih melakukan penyembelihan ini ayah”.


Si anak mengerti perasaan ayahnya yang sangat sedih itu. Si ayah berkata “baiklah anakku”. Lalu si ayah menanggalkan baju si anak, tersingkaplah badan anaknya yang putih bersih dan sasa itu. Lalu si ayah memalingkan wajah anaknya yang sangat dikasihi itu menghadap ke bawah. Lalu si anak berkata “ wahai ayah, aku telah bersedia.Laksanakanlah perintah Allah ayah”. si ayah lantas berdoa, “Ya Allah, Lihatlah Ya Basir, Engkau Yang Maha Melihat. Aku sembelihkan cintaku terhadap anakku. kuatkanlah hatiku Ya Allah”


Lalu, saat IBRAHIM, ya, IBRAHIM nabi Allah yang muliah, mula menyembelih anaknya, lantas dia mendengar perintah Allah agar menukarkan anaknya dengan seekor kibas (seperti biri-biri). Di situlah bermulanya erti pengorbanan. Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s yang sentiasa sabar dalam menjalani perintah Allah jua Siti Hajar yang tabah merelakan pemergian anak kesayangannya bersama suaminya yang membawa kebahagiaan mereka.


Inilah erti sebenar Eidul Adha. Korbankanlah cinta dunia dalam hatimu. Sembelihnya, matikan dan keluarkan cinta dunia, cinta harta cinta suami, cinta anak-anak, cinta rakan dan cinta semuanya kerana Allah tidak akan hadir di dalam hati hambanya yang masih berbaki cinta dunia. Oleh itu, Raihlah cinta Allah dengan mengosongkan hatimu daripada cinta dunia. Semoga kisah ini sedikit sebanyak dapat memberi gambaran betapa besarnya pengorbanan seorang Rasul dalam menjalankan perintah Allah.


Semoga Hari Raya Eidul Adha 1429H pada kali ini, memberi kita erti pengorbanan sebenar. SALAM Eidul Adha daripada saya sekeluarga.


Tuesday, December 9, 2008

1 Comment:

Anem Arnamee said...

Salam ziarah..

~masyaALLAH indah entri nie..=)
thnks 4 sharing