Selamat memanfaatkan cuti


Cuti sekolah telah bermula begitu juga dengan kebanyakan IPTA di Malaysia. Untuk itu, suka saya mengucapkan selamat bercuti kepada semua rakan-rakan di UM, dan seluruh IPTA di Malaysia. Buat adik-adik yang masih bersekolah, selamat bercuti. Namun, bercuti sudah semestinya satu kerehatan bagi mereka yang penat selama ini, penat buat kerja sekolah, penat ikut aktiviti kokurikulum, penat jaga pelajar (bagi pengawas sekolah), penat layan karenah cikgu dan sebagainya.


Pelajar universiti juga tidak melepaskan peluang untuk merehatkan minda mereka setelah ’pulun’ untuk peperiksaan yang sudah dan bakal habis nanti. Pelbagai aktiviti sudah dirancang untuk cuti ini, ada yang ingin bercuti di luar negara bersama keluarga, bercuti bersama rakan-rakan dalam bentuk yang pelbagai, seperti, camping, climbing, melawat tempat-tempat yang menarik dan sebagainya.


Namun, ada juga mereka yang membuat keputusan untuk menambah pendapatan dengan memenuhi masa cuti dengan bekerja. Ramai rakan-rakan saya yang ingin menetap di Kuala Lumpur semata-mata untuk bekerja. Namun, saya nasihatkan, jangan lupa pula pulang ke rumah ibubapa walaupun sekejap cuma. Ibubapa mana tidak rindukan dan sayangkan anak-anak mereka. Ingin sesekali berkumpul bersama-sama setelah beberapa lama anak-anak mereka di perantauan untuk menuntut ilmu mahupun sumber rezeki.


Suka saya berkongsi sedikit tentang bagaimana kita mahu manfaatkan masa cuti kita. Ibubapa boleh merancang satu program yang bermanfaat untuk anak-anak mereka yang masih bersekolah antaranya ialah menghantar ke program menghafaz Al-Quran, penghayatan solat, dan sebagainya yang boleh mengisi minda anak-anak dengan ilmu-ilmu yang mereka tidak perolehi di dalam silibus di sekolah. Perkara ini penting dalam melahirkan generasi yang mahir dalam bidang profesional sekaligus menguasai ilmu-ilmu agama, kerana itulah yang dituntut dalam Islam.


Buat rakan-rakan saya yang masih menuntut di IPTA, suka saya mencadangkan agar kalian boleh membahagikan masa cuti kalian tidak hanya dengan satu perkara, malah pelbagai aktiviti yang bermanfaat. Memenuhi walimatul urus, itu sudah semestinya dimasukkan di dalam agenda. Jika ada kelapangan dan rezeki lebih, boleh minta izin dengan ibubapa untuk berkampung di ’pondok’ selama beberapa waktu untuk menuntut ilmu daripada kitab-kitab lama karangan ulama’ tersohor yang sukar kita dapati dalam universiti. Pengalamannya pasti menarik. Kalian juga boleh mula mengulang kaji subjek yang bakal diambil pada semester depan sebagai persediaan awal.


Untuk mereka yang bekerja, suka saya mengingatkan bahawa, matlamat utama kalian bekerja bukanlah kerana mencari wang semata-mata. Rezeki itu datangnya daripada Allah, bukannya daripada boss kita. Kerana itu, bermohonlah kepada Ya Malik, Yang Maha Memilik supaya membolak-balikkan hati majikan kita untuk memberi rezeki yang lebih kepada kita. Selain itu, faktor keberkatan juga jangan disampingkan selain menjaga pergaulan dengan majikan, rakan sekerja serta para pelanggan. Setiap apa yang kita lakukan, sesungguhnya, Ya Basir, Allah Yang Maha Melihat akan merakam setiapnya, dan Dialah yang akan membalas setiap perbuatan kita.


Untuk itu, selamat bercuti kepada semua yang bercuti. Semoga cuti ini menjadi satu medan untuk kita lebih membuat amal dalam terus mencari keREDHAan Allah.


Monday, November 17, 2008

2 Comments:

intaneqashut said...

hehe.....suka saya....suka saya...tidak habis2 dgn ayat itu...eceh~

HAHA...dengan ini, suka saya mengucapkan selamat bercuti kepada cik afifah....haha,....

selamat bercuti cik afifah~

flying jeddi said...

orang tu memang dah ada keje, xpela.....